HomeNEWSAwas salah guna pinjaman, perbelanjaan kerajaan, kata Jomo

Awas salah guna pinjaman, perbelanjaan kerajaan, kata Jomo

Jomo Kwame Sundaram berkata, kerajaan jangka pendek boleh menyalahgunakan dasar pengembangan fiskal.

PETALING JAYA: Waktu terdesak mungkin memerlukan langkah terdesak, tetapi ia juga menuntut ketelusan dan pemeriksaan lebih ketat bagi menghalang penyalahgunaan dan pembaziran, kata pakar ekonomi terkenal Jomo Kwame Sundaram.

Dalam hantaran di blog beliau, Jomo berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan melaksanakan dasar pengembangan fiskal seperti membuat pinjaman dan perbelanjaan lebih besar, tetapi memberi amaran bahawa ia boleh disalah gunakan oleh kerajaan jangka pendek.

“Wujud kebimbangan meluas bahawa dasar pengembangan fiskal yang lebih berani berkemungkinan akan disalah guna oleh kerajaan jangka pendek yang didorong oleh populisme makroekonomi dan tidak menghiraukan kesan jangka sederhana dan panjang peningkatan perbelanjaan, pinjaman dan hutang.

“Kerajaan yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan atas krisis sebenar, diperbesar-besarkan atau dikhayalkan untuk melaksanakan dasar makroekonomi populis bagi menjamin kelangsungan kuasa politik dan memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai hubungan baik dari segi politik.

“Hanya dengan pemerintahan, ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih baik akan dapat meminimumkan kerosakan kerana ‘kebocoran’ dan penyalahgunaan berkait pertambahan pinjaman dan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Jomo berkata Putrajaya menubuhkan banyak syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek prasarana yang banyak bergantung pada dana yang dipinjam dengam menambah bahawa ia tidak dilaporkan ke Parlimen sehingga baru-baru ini.

Beliau berkata, SPV “tidak disemak semula secara serius” oleh Jabatan Audit Negara atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Contohnya, kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dipercayai oleh orang dalaman industri itu kurang 1/4 daripada jumlah yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia, hatta sebelum ia mengambil kira faedah tertangguh dan kos lain.

“Tetapi bukan kontraktor dari China yang akan mendapat sebahagian besar wang yang dibayar oleh rakyat Malaysia untuk projek ECRL dalam dekad-dekad akan datang, tetapi (kontraktor) tempatan dan ‘pemudahcara’ lain,” katanya.

Must Read

Related News