HomeNEWSART pilihan terbaik, Penang Forum beritahu kerajaan negeri

ART pilihan terbaik, Penang Forum beritahu kerajaan negeri

Transit aliran autonomi atau ART yang beroperasi di sebuah bandar di China. Kerajaan Sarawak dijangka memulakan percubaan sistem itu di Kuching pada 2023. (Gambar China Railway Construction Corporation)

GEORGE TOWN: Aktivis tempatan berkata, Pulau Pinang perlu kembali ke titik permulaan, selepas gagal mendapatkan jaminan kerajaan persekutuan untuk pinjaman RM2 bilion bagi membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) pertamanya, dan sebaliknya mencari sistem pengangkutan lebih murah serta terbukti.

Lim Mah Hui dari Penang Forum berkata, berdasarkan kemelesetan semasa, keseluruhan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion itu – yang merangkumi LRT, lebuh raya dan sistem pengangkutan lain – perlu dikaji semula.

Ini menyusul selepas Putrajaya berkata, ia tidak akan menjamin pinjaman AS$500 juta (RM2 bilion) yang ditawarkan Bank Pembangunan Asia (ADB) kepada negeri itu, dengan alasan pertambahan komitmen. Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang bertegas meneruskan projek itu walaupun tanpa pinjaman, dengan melihat “pilihan pembiayaan” lain.

Lim berkata, situasi itu boleh menjadi hikmah tersembunyi kerana sistem LRT cepat ketinggalan berikutan penyelesaian lebih baru, murah dan cepat seperti trem tanpa landasan.

Lim Mah Hui.

“Kerajaan negeri perlu mengkaji semula kos PTMP. LRT akan menjadi projek gajah putih apabila sistem seperti trem tanpa landasan, atau transit aliran autonomi (ART), menjadi kebiasaan.

“Kos ART 1/10 lebih murah daripada LRT, dan boleh disiapkan dalam setahun. Itu akan menyelamatkan rakyat Pulau Pinang daripada gangguan besar-besaran semasa pembinaan LRT, yang akan mengambil bertahun-tahun,” katanya kepada FMT.

ART, dilihat sebagai hibrid trem dan bas, tidak memerlukan sebarang landasan atau struktur tinggi dan bergerak menggunakan roda getah biasa. Satu set 3 gerabak boleh memuatkan 300 penumpang, sementara 5 gerabak boleh membawa 500 orang, dengan jarak berpusing 15m.

Ia mempunyai sensor yang membimbingnya melalui mana-mana jalan raya dan membolehkannya memintas lampu isyarat kerana ia akan diberikan laluan apabila melalui simpang.

Lim berkata, penyelidik Australia mendapati pembinaan laluan ART akan menelan kira-kira RM25 juta 1km dan jika laluan sepanjang 20km dibina, ia akan menelan belanja keseluruhan sekitar RM500 juta.

Katanya, walaupun kosnya meningkat kepada RM1 bilion, ia jauh lebih murah daripada rancangan kerajaan negeri membina 30 stesen, LRT Bayan Lepas sepanjang 19km yang menelan belanja sekitar RM8.5 bilion.

Kerajaan Sarawak merancang untuk membina sistem ART di Kuching, dengan percubaan dijangka bermula 2023 dan berkhidmat sepenuhnya 2 tahun kemudian.

Lim, yang juga ahli ekonomi pernah berkhidmat dengan beberapa bank antarabangsa, termasuk ADB, berkata negara memohon pinjaman daripada ADB “tidak pelik”.

Namun, katanya, Pulau Pinang tidak layak mendapat kadar konsesi yang biasanya diberikan kepada negara miskin.

“Ini kerana, Malaysia tidak lagi tergolong dalam kategori negara miskin. Kita adalah negara berpendapatan sederhana tinggi. Kita akan mendapat kadar komersial, yang lebih mahal daripada pinjaman konsensi.”

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang boleh mendakwa ia mampu membayar semula pinjaman, pemimpin negeri itu perlu sedar optimisme mereka salah.

Sistem LRT, katanya, secara semula jadi akan menjadi pelaburan merugikan, seperti yang dilihat daripada projek sama di Lembah Klang dan negara lain.

Walaupun negeri itu menuntut semula tanah dan menjualnya kepada pembida tertinggi, Lim berkata, tiada jaminan tanah itu mampu dijual pada harga yang tepat.

Berdasarkan 2 faktor itu, katanya, mengambil pinjaman besar untuk projek LRT sangat berisiko.

“LRT tidak akan menjana aliran tunai, tetapi mengakibatkan defisit. Bagaimana Pulau Pinang membayar balik pinjaman itu? Dan mengapa permohonan pinjaman ini tidak diumumkan?”

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz memberitahu Parlimen, ADB memberi 3 pilihan kepada kerajaan persekutuan Januari lalu.

Pilihan terbabit ialah pinjaman terus kepada Pulau Pinang dengan jaminan kerajaan persekutuan, pinjaman terus kepada kerajaan persekutuan dengan pinjaman semula kepada Pulau Pinang, atau pinjaman terus kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dengan jaminan Putrajaya.

Beliau berkata, kadar pembayaran semula lebih tinggi dengan pembahagian sehingga 50 mata asas.

Must Read

Related News