Amanah bukan ditubuh untuk setia kepada mana-mana individu, parti

0
228
Salahuddin Ayub.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, menegaskan parti itu bukannya ditubuhkan untuk menjadi “walaun” kepada mana-mana pemimpin mahupun parti politik.

Beliau juga menegaskan, tiada “dewa” mahupun “panglima perang” dalam Amanah sejak ia ditubuhkan pada 2015.

“Saya boleh tahu pemimpin Amanah yang paling komited dalam Pakatan Harapan (PH). Kita bukan nak jadi ‘walaun’ mana-mana pihak. Saya bukan ‘walaun’ (Presiden) Mohamad Sabu. Kita bukan ‘walaun’ Tun (Dr Mahathir Mohamad), kita bukan ‘walaun’ (Presiden PKR) Anwar Ibrahim,” katanya ketika merasmikan konvensyen Pemuda parti itu di Melaka.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendirian parti dan rakan pembangkang lain jelas mahu menumbangkan Perikatan Nasional, yang disifatkan sebagai kerajaan tidak bermaruah.

“Kita mahu PH berdiri teguh dan menumbangkan kerajaan tebuk atap yang jadi ‘perompak’ dan ‘penyamun’ kepada mandat rakyat.

“Ini adalah jelas pendirian kami. Mohamad Sabu bukan buat kenyataan di tepi jalan atau warung tapi secara rasmi sebagai pendirian parti,” katanya.

Istilah “Walaun” diambil daripada perkataan wala’ yang membawa maksud taat setia kepada pihak tertentu.

Dalam pada itu, beliau mewakili kepimpinan tertinggi parti menegaskan parti Islam itu tidak sama sekali berniat mahu menyisihkan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang.

“Tidak ada niat pun nak ketepikan Anwar seperti yang difitnah sejak akhir-akhir ini. Hari ini, kita tegaskan, ini pendirian rasmi kita,” katanya.