IPOH: Pelantikan ADUN Pengkalan Baru Abd Manaf Hashim sebagai penasihat Menteri Besar dengan status EXCO bukan berupaya imbuhan untuk peranannya yang menyebabkan Ahmad Faizal Azumu tersingkir sebagai MB.
Saarani Mohamad yang menggantikan Faizal sebagai MB berkata Abd Manaf di pilih sebagai penasihat beliau berdasarkan kelayakan semata-mata dan bukan kerana membawa usul percaya terhadap Faizal dalam Dewan Undangan Negeri pada bulan lalu.
Usul itu memberi laluan kepada semua 25 ADUN UMNO di Perak menolak kepimpinan Faizal, sekali gus menyebabkan jawatan MB diambil alih oleh Saarani.
“Tak ada imbuhan atau janji apa-apa…bila tempat dikosongkan, maka saya perlu isi, jadi kita pilih orang yang pada pendapat kita layak,” kata Saarani kepada pemberita selepas majlis penanaman 100 juta pokok di Taman Eco Rimba Kledang Saiong.
Manaf menggantikan ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, juga dari UMNO yang sebelum ini dilantik oleh Faizal sebagai penasihatnya.
Usul yang dibawa Manaf menyaksikan Faizal yang juga timbalan presiden PPBM, ditolak ADUN UMNO dan Pakatan Harapan apabila undian dijalankan, peristiwa yang membawa kepada tampuk pentadbiran negeri berpindah dari PPBM kepada UMNO.
Saarani mengumumkan pelantikan Manaf pada 23 Dis yang mencetuskan spekulasi mengenai sebab beliau di pilih mengisi jawatan itu.