Menteri Sarawak selar kenyataan ADUN PSB ‘gagal bangun kawasan luar bandar’

0
278
Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) menyifatkan ADUN Engkilili, Johnical Rayong Ngipa sebagai ‘individu keliru’. 

KUCHING: Seorang menteri Sarawak menegur seorang bekas penyokong kerajaan yang mendakwa kerajaan Sarawak gagal membangunkan kawasan luar bandar.

Ahli kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan ADUN Engkilili, Johnical Rayong Ngipa sebagai “individu keliru” kerana kerajaan negeri mempunyai rekod prestasi pembangunan terbukti.

“Kami sentiasa menekankan pembangunan luar bandar, oleh itu, GPS (Gabungan Parti Sarawak) mempunyai kekuatan di kawasan luar bandar.

“Saya rasa beliau ialah orang keliru. Beliau lupa yang beliau bersama gabungan pemerintah negeri selama ini sebelum menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB),” kata menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan negeri itu.

Sebelum menyertai PSB, Rayong ialah bekas pemimpin dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti komponen GPS.

“Jika kerajaan GPS sedia ada gagal membangunkan kawasan luar bandar dalam negeri ini, apa yang beliau lakukan sebelum ini? Adakah ini bermaksud beliau ialah ADUN yang gagal?

“Atau beliau tiba-tiba menjadi baik selepas menyertai PSB?” soal Karim.

Rayong yang juga ketua Pemuda PSB, mengkritik kerajaan Sarawak dan mendakwanya gagal membangunkan kawasan luar bandar serta partinya boleh melakukannya lebih baik.

Karim berkata, beliau tidak mahu bersikap angkuh, tetapi “bingung” dengan dakwaan Rayong yang PSB boleh melakukan lebih baik.