2 polis disyaki peras ugut, cabul ditahan di Kelantan

0
251
Shafien Mamat berkata, anggota polis itu turut didakwa menumbuk seorang daripada mangsa sambil mengugutnya dengan meminta RM1,250 supaya kes itu tidak dirujuk kepada pejabat agama. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua anggotanya yang disyaki memeras ugut dan mencabul dua individu yang sudah bertunang di Pengkalan Chepa, dekat sini pada 4 Dis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, anggota berpangkat lans koperal dan konstabel yang berusia 35 serta 31 tahun itu ditahan selepas mangsa lelaki membuat laporan Ahad lalu.

“Kejadian berlaku 10.45 malam, ketika dua anggota polis berkenaan melakukan rondaan sebelum terserempak dengan pasangan berusia 20-an itu dalam sebuah kereta di tepi jalan.

“Anggota polis berkenaan dikatakan menumbuk seorang daripada mangsa itu sambil mengugutnya dengan meminta RM1,250 supaya kes berkenaan tidak dirujuk ke pejabat agama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata, selepas mendapat wang yang dikeluarkan daripada mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan, anggota polis itu didakwa mengarahkan pasangan itu mengadakan hubungan seks dalam kenderaan mangsa yang kemudiannya dirakam menggunakan telefon bimbit suspek.