Putrajaya mesti henti rancangan lombong nadir bumi di Kedah, kata perbadanan air Pulau Pinang

0
212
Bekalan air di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sangat bergantung pada Sungai Muda yang mengalir dari hitan simpan Kuala Muda. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) mengkritik langkah Kedah untuk melombong elemen nadir bumi (REE) di kawasan perlindungan dan menggesa Putrajaya supaya mengambil tindakan berhubung usaha itu.

Ketua pegawai eksekutifnya, Jaseni Maidinsa berkata, salah satu kawasan yang akan diterokai untuk REE adalah hutan simpan Ulu Muda, yang merupakan kawasan tadahan air untuk sekitar 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, hampir 70% daripada air mentah di Perlis dan 96% di Kedah berasal dari Ulu Muda, manakala Pulau Pinang memperoleh 80% air mentah dari Sungai Muda yang bersambung secara langsung dengan kawasan tadahan.

“Penerokaan REE di Ulu Muda pasti akan meletakkan perkhidmatan bekalan air kepada tiga negeri itu dalam bahaya.

“Menteri besar Kedah dengan mudah melupakan bahawa Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kementerian di peringkat persekutuan mesti bekerjasama untuk menghentikan usaha berbahaya ini dengan segera ,” katanya dalam kenyataan.

Jaseni berkata kerajaan Kedah memberi jaminan bahawa ia hanya penerokaan, bukan perlombongan, kemusnahan kawasan Ulu Muda tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata pokok akan ditebang dan bukit diratakan untuk melombong REE, manakala serpihan dan sisa beracun akan membawa impak besar ke atas alam sekitar dan kesihatan.

“(Ia juga akan) mencemarkan dan menkontaminasi sistem air di Lembangan Sungai Muda.

“Kuari besar akan didirikan dan banyak tanah digali. Ia akan menyebabkan kemusnahan besar ke atas persekitaran hutan hujan,” katanya.

Kerajaan Kedah baru-baru ini mengumumkan ia mendapatkan khidmat sebuah syarikat untuk meneroka REE bernilai RM62 bilion di daerah Sik, Ulu Muda dan Baling.