Jawatan satu tanggungjawab, bukan perebutan, kata ADUN Rungkup

0
271
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Shahrul Zaman Yahya antara disebut-sebut sebagai menteri besar Perak yang baharu. (Gambar Bernama)

IPOH: Jawatan adalah satu tanggungjawab dan bukan untuk perebutan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Shahrul Zaman Yahya, antara nama diuar-uar sebagai bakal menteri besar Perak yang baharu.

ADUN Umno itu berkata, semua pihak perlu kembali kepada perkara asas iaitu berjuang untuk rakyat dalam apa juga kapasiti yang ada.

“Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya untuk berpegang kepada konsep reda, usaha dan tawakal kepada Allah. Kita wajib percaya kepada qada dan qadar Allah, segalanya telah tertulis…jawatan adalah pertanggungjawaban bukan untuk perebutan.

“Kita jaga petak kita masing-masing, ‘if we can uphold to all this’ (jika kita mempertahankan semua ini) Insya-Allah reda Allah untuk kita, negeri dan negara yang kita cintai ini,” katanya menerusi laman rasmi Facebook beliau.

Shahrul Zaman turut menyertakan keratan berita yang melaporkan beliau antara disebut-sebut sebagai bakal menteri besar Perak yang baharu selain Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad dan bekas menteri besar Zambry Abd kadir.

Jawatan itu kosong selepas Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lalu apabila gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap menteri besar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lepas.

Menerusi usul dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), PPBM (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.