Kecurian kereta di tempat letak kereta? Mahkamah buka ruang untuk dapat pampasan daripada syarikat pengurusan

0
383
Gambar Bernama.

PUTRAJAYA: Orang awam yang kecurian kenderaan di tempat letak kereta kini berpeluang memperolehi pampasan daripada pengurusan tempat letak kereta berkenaan, sesuatu yang agak mustahil sebelum ini.

Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan bersejarah apabila memperakukan ketetapan mahkamah sebelumnya bahawa pengurusan tempat letak kereta boleh disaman atas kecuaian.

Panel tiga hakim sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen mengarahkan sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta membayar pampasan RM117,000 kepada sebuah syarikat sewa kereta yang kecurian kenderaan di tempat parkir itu.

Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa Sunway Parking Services Sdn Bhd mempunyai tanggungjawab memenuhi perjanjian apabila sebuah kereta milik Euro Rent A Car Sdn Bhd diletakkan di tempat letak kereta syarikat itu.

Hakim Hanippah Farikullah, Lee Swee Seng, dan Che Mohd Ruzima Ghazali bersetuju syarikat tidak boleh mengelak kebertanggungjawaban dengan menggunakan ‘fasal pengecualian’ dalam perjanjian itu.

Fasal pengecualian itu selalunya tertera di tiket membawa maksud bahawa syarikat tidak bertanggungjawab atas sebarang kejadian pada kenderaan di tempat letak kereta berkenaan.

Penghakiman oleh Mahkamah Rayuan berkenaan disampaikan secara lisan dan peguam Euro Rent Ameerul Aizat Noor Hazlan berkata beliau akan memohon hujah keputusan bertulis kerana ia keputusan duluan.

“Hujah keputusan ini boleh memberi bantuan dalam memberikan kesedaran pemilik kenderaan dan pengurusan syarikat tempat letak kereta mengenai hak dan kebertanggungjawaban mereka,” katanya.

Pada April 25, 2016, Euro Rent menyewa kereta dengan plat BNS 9066 kepada seorang warga Peranchis, Hemici Sofiane.

Dua hari kemudian, Sofiane meletakkan kereta itu di The Pinnacle Sunway di Bandar Sunway, Petaling Jaya kira-kira 2.30 petang tetapi mendapati kenderaan itu kecurian pada malamnya.

Rakaman CCTV menunjukkan kenderaan itu dicuri dan keluar daripada parkir berkenaan tanpa tiket. Ini dilakukan oleh pencuri dengan mengekori rapat kereta lain untuk keluar sebelum palang kawalan sempat diturunkan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, mendapati Sofiane membayar yuran tempat letak kereta dan pengurusan tidak boleh bergantung kepada syarat bahawa pemilik kenderaan bertanggungjawab penuh atas kenderaan yang diletakkan itu.

Keputusan itu diperakukan di Mahkamah Tinggi pada 2018 dan keputusan Mahkamah Rayuan memperakukannya bermakna tidak ada rayuan lagi yang boleh dikemukakan.