Polis tahan 6 suspek culik ahli perniagaan, isteri di Kedah

0
327
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata mangsa dan isterinya dilepaskan oleh penculik selepas gagal mendapatkan baki wang tebusan.

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam suspek berhubung kes penculikan seorang ahli perniagaan dan isterinya di Jitra, Kedah, 30 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, suspek yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 58 tahun.

“JSJ memulakan operasi menahan semua suspek mulai 1 hingga 4 Disember lalu.

“Sejumlah wang tebusan dan barang kemas yang dibayar kepada penculik berjaya dirampas. Semua suspek kini ditahan polis Kedah dan direman hingga 10 Disember untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Huzir berkata, mangsa diculik pada 2 petang 30 November lalu oleh empat lelaki bertopeng di rumah mereka dan diletakkan di satu lokasi di Kedah.

“Penculik kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta untuk membebaskan mangsa.

“Sejumlah RM250,000 sudah dibayar oleh keluarga mangsa kepada penculik. Pada 1 Disember mangsa dan isterinya dilepaskan oleh penculik selepas gagal mendapatkan baki wang tebusan,” katanya.