Operasi Balai Bomba Lintas tak jejas selepas 5 anggota positif Covid-19

0
314
Kementerian Kesihatan sudah mengarahkan semua anggota dan pegawai di Balai Bomba Lintas menjalani kuarantin dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

KOTA KINABALU: Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, di sini, tidak terjejas walaupun lima anggota dan pegawainya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati penularan itu dipercayai berpunca daripada ahli keluarga seorang anggota, sebelum ia merebak kepada empat anggota lain sejak 25 Nov lalu.

Katanya, Kementerian Kesihatan sudah mengarahkan semua anggota dan pegawai di balai itu menjalani kuarantin dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

Beliau berkata, operasi BBP Lintas ditutup seketika untuk proses sanitasi, sebelum ia diteruskan dengan penugasan khas anggota dari BBP Kota Kinabalu, Penampang serta Tuaran sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan atau kecemasan.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah sudah menyediakan pelan kontingensi untuk bantuan kepada kawasan-kawasan berpotensi banjir seperti Kota Belud dan Beaufort.

“Sebagai contoh sekiranya berlaku banjir di Kota Belud, kita akan membuat bantuan penugasan dari bahagian utara seperti BBP Kudat, Kota Marudu dan Ranau.

“Begitu juga sekiranya berlaku banjir di Beaufort, JBPM akan menggerakkan bantuan dari BBP Sipitang dan Keningau, termasuk BBP Kota Kinabalu.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua anggota dan pegawai sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan potensi jangkitan dan memastikan kekuatan keanggotaan JBPM Sabah di semua BBP tidak terjejas.