Krisis politik Perak ujian buat PPBM balas jasa Umno

0
299
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Krisis politik di Perak adalah peluang terbaik untuk PPBM membuktikan jika parti “bongsu” dalam Perikatan Nasional (PN) itu mampu beralah seperti dilakukan Umno dalam isu pemilihan ketua kerajaan.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, jika sebelum ini wakil rakyat Umno lebih ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan Ahli Parlimen Umno lebih ramai di Dewan Rakyat boleh mengangkat pemimpin PPBM sebagai ketua mereka, ini adalah masa yang tepat untuk PPBM kembali membalas budi.

“Saya lihat dari sudut positif, ini adalah peluang mereka untuk angkat menteri besar daripada Umno, adakah PPBM boleh buat seperti mana apa yang Umno boleh buat untuk PPBM,” katanya dalam Dialog Umno Bersatu anjuran Astro Awani malam ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai situasi terkini pentas politik di Perak, Shahril berkata, adalah lebih baik semua pihak menunggu pendirian rasmi ketua parti dalam kerajaan.

Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden PPBM hilang sokongan majoriti sebagai menteri besar selepas usul percaya dikemukakan terhadapnya oleh ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim diundi di DUN pagi tadi.

Dalam undian dipengerusikan Speaker DUN Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Ahmad Faizal, berbanding 48 yang membantah dan satu undi rosak.

BERITA LANJUT MENYUSUL