
PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyelar Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor atas “sikap keras” dan “tidak boleh diterima” beliau dalam mempertahankan perobohan sebuah kuil Hindu di Alor Setar.
Penasihat LFL N Surendan berkata Sanusi sebelum ini mengabaikan fakta bahawa tempat ibadah Sri Madurai Veeran yang diroboh pada Julai dibina pada zaman penjajahan dan ia tidak dibina secara tidak sah pada masa itu.
Beliau berkata dengan mengatakan penganut agama Hindu dengan sengaja membina sebuah kuil di atas tanah bukan milik mereka memberi gambaran salah tentang fakta.
“Langkah merobohkan kuil itu secara umumnya mencerminkan masalah dalam perobohan kuil di Malaysia.
“Kuil yang pada asalnya dibina dengan kebenaran pada zaman penjajahan berubah menjadi ‘tidak sah’ susulan penjualan atau pindah milik tanah yang berlaku beberapa dekad kemudian,” kata Surendan dalam kenyataan hari ini.
“Pendekatan yang diambil kerajaan Kedah dalam kes ini, dan pihak berkuasa secara keseluruhannya ialah dengan bersembunyi di sebalik alasan bahawa struktur kuil ‘tak sah’.
“Ia mengetepikan sensitiviti atau kejahilan terhadap sentiment keagamaan penganut.
“Struktur kuil tidak boleh dilihat seperti bangunan lain kerana ia mempunyai nilai keagamaan dan sosial yang penting kepada penganut agama terbabit, selain komuniti Hindu di kawasan berkenaan.”
Pada Selasa, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun.
Sanusi berkata, tempat ibadat mesti dibina dengan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan tempatan terlebih dahulu, selain menambah bahawa MIC harus diharamkan sekiranya ia menghasut rakyat supaya melanggar undang-undang.
Surendan juga mengecam kenyataan Sanusi terhadap MIC dengan berkata, kebebasan bersuara adalah dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata kerajaan negeri mesti bersedia untuk menerima dan memberi respons terhadap kritikan masyarakat secara rasional, bukannya membuat ugutan kerana mereka dipilih oleh rakyat.
“Kami menggesa kerajaan Kedah dan pihak berkuasa lain di Malaysia supaya berhati-hati, menjaga sensitiviti dan memahami keadaan dan konteks pembinaan sesebuah kuil dalam mengendali pertikaian mengenainya.
“Pihak berkuasa mesti berhubung dengan semua pemegang taruh dan orang perantaraan bagi memastikan penyelesaian terbaik dicapai dan mengelak perobohan paksa tempat ibadat,” katanya.