HomeNEWSUsul minta Putrajaya bincang pindaan tangguh pilihan raya ditolak

Usul minta Putrajaya bincang pindaan tangguh pilihan raya ditolak

PETALING JAYA: Usul Mukhriz Mahathir (Jerlun-Bebas) meminta kerajaan membincangkan di Dewan Rakyat pindaan bagi membolehkan pilihan raya ditangguh tanpa perisytiharan darurat ditolak Speaker Azhar Azizan Harun.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon semasa menjawab bantahan Mukhriz pagi tadi berkata ia ditolak kerana ia tidak perlu disegerakan.

“Jika tidak puas hati, boleh tulis surat kepada Azhar, keputusan adalah muktamad berdasarkan Peraturan 43 Dewan Rakyat,” katanya pada sidang hari ini.

Mukhriz, sebelum perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2021) bermula, mempersoalkan penolakan usulnya, mengatakan Speaker tidak ada sebab untuk menolak.

Beliau memohon suatu perbincangan diadakan selepas Azhar dalam jawapannya kepada Mukhriz berkata cadangan pindaan Perlembagaan bagi menangguhkan pilihan raya perlu kajian menyeluruh, termasuk mengambil kira undang-undang bertulis sedia ada.

“Memang itu yang saya mohon,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata menggubal RUU bagi menangguhkan pilihan raya ketika Covid-19 tidak sesuai dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Kerajaan pada 18 Nov mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi di Sabah, bagi menangguhkan pilihan raya kecil yang sepatutnya diadakan pada 5 Dis, kerana pandemik Covid-19.

Must Read

Related News