HomeNEWSMajikan digesa baiki keseimbangan kerja-hidup demi kesihatan pekerja

Majikan digesa baiki keseimbangan kerja-hidup demi kesihatan pekerja

Chua Sook Ning berkata, majikan perlu memastikan pekerja mereka mempunyai kesihatan mental yang baik.

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan mental dan pemimpin kesatuan sekerja berkata, penekanan lebih perlu diberikan untuk memastikan pekerja mempunyai keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang sihat.

Chua Sook Ning, pengasas kumpulan pendidikan dan sokongan kesihatan mental, Relate Malaysia, berkata terlalu kuat bekerja serta tertekan boleh menyebabkan seseorang individu lebih berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Katanya, memupuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang sihat memerlukan penyertaan aktif pekerja serta majikan kerana mental tidak sihat boleh membawa kepada keadaan fizikal yang serius dan hilang produktiviti.

“Kajian sudah dilakukan di beberapa negara ke atas 4 hari bekerja seminggu dan ia menunjukkan hasil baik. Individu tidak menjadi kurang produktif atau hilang sasaran mereka,” katanya kepada FMT sambil mengakui Malaysia bagaimanapun mungkin tidak bersedia dari segi budaya untuk peralihan begitu besar.

Chua Sook Ning.

“Strategi lain yang saya suka ialah tidak menghantar SMS atau e-mel selepas bekerja, jadi terdapat pemisahan jelas antara kerja dan masa lapang. Jika bos menghantar mesej kepada anda, sentiasa ada dorongan kuat, kewajipan untuk bertindak balas.”

Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Khazanah dalam laporan terkini bertajuk “Ketidakseimbangan Sosial dan Kesihatan di Malaysia”, berkata lebih 1/4 daripada pekerja di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, selepas mendapati tempat kerja antara faktor terbesar menentukan kesihatan seseorang.

Tambahan, kajian “Bandar terbaik untuk keseimbangan kerja-hidup 2020” yang dijalankan pakar keselamatan berpangkalan di AS, Kisi meletakkan Kuala Lumpur di tangga ke-47 daripada 50 bandar utama, dengan catatan purata masa dihabiskan untuk bekerja dan berulang alik dalam seminggu (52 jam) dan mendapati 21% populasi terlalu kuat bekerja (ditakrifkan sebagai bekerja lebih 48 jam seminggu).

Memandangkan tekanan yang bertambah akibat pandemik Covid-19, Chua berkata, majikan perlu lebih berhati-hati dalam memastikan pekerja mempunyai kesihatan mental yang baik dengan memahami produktiviti mungkin tidak sama dengan tahap pra-pandemik.

Katanya, mereka perlu memberikan sokongan emosi dan mental kepada pekerja.

“Jika anda seorang majikan, anda perlu faham pekerja anda tertekan ketika ini. Walaupun jika tempat kerja bukan puncanya, anda perlu ingat seluruh dunia sangat tertekan sekarang.”

Beliau menasihatkan pekerja tidak cuba “mengejar kehidupan” apabila mereka pulang ke rumah selepas seharian bekerja dengan mengorbankan tidur, kerana rehat mencukupi boleh mencegah penyakit mental dan fizikal.

Mohd Effendy Abdul Ghani.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mematuhi piawaian antarabangsa seperti mengamalkan 40 jam minggu kerja berbanding 48 jam yang termaktub dalam Akta Kerja.

“Ramai pekerja dalam sektor perkhidmatan, khasnya pekerja sektor swasta, tidak berani pulang tepat pada masanya. Jika berbuat demikian, mereka mungkin dilabelkan ‘malas’ atau ‘tidak produktif’ dalam penilaian akhir tahun.”

Katanya, ini menambah masa kepada minggu kerja yang sudah tergolong antara paling panjang di dunia.

Beliau bersetuju dengan Chua, walaupun kemunculan teknologi menjadikan pekerja lebih produktif, ia turut menyebabkan tekanan kerja dibawa pulang ke rumah.

Beliau menggesa kerajaan menetapkan dan melaksanakan halangan antara pekerja dan pihak atasan mereka supaya pekerja boleh melepaskan kerja secara efektif apabila mereka meninggalkan tempat kerja.

Ini katanya, boleh “memberi pengalaman lebih baik kepada pekerja dan mungkin mengekalkan pekerja serta menawarkan kebaikan jangka panjang lain”.

Must Read

Related News