HomeNEWSPolis tubuh pasukan khas bawa balik suspek Thailand

Polis tubuh pasukan khas bawa balik suspek Thailand

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, sehingga kini, seramai 22 suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh. (Gambar Bernama)

KANGAR: Polis akan menubuhkan pasukan khas bagi membawa masuk tiga suspek lelaki warga Thailand yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang dipercayai dalang utama kejadian tersebut amat diperlukan bagi meneruskan siasatan di Malaysia.

“Kita amat memerlukan ketiga-tiga suspek itu (warga Thailand) bagi mendapat maklumat lanjut berhubung insiden tersebut dan mereka dipercayai ditahan di Selatan Thailand,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 24 Nov, seorang anggota PGA, Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Norihan Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600m dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

“Kita akan berhubung dan melakukan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Polis Diraja Thailand bagi meneruskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, Huzir mengadakan pertemuan tertutup bersama polis kontinjen Perlis diketuai Ketua Polis Perlis Surina Saad bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 22 suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.

Sementara itu, Surina berkata 15 suspek warga tempatan yang ditahan sebelum ini akan diserahkan kepada polis kontinjen Kedah bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan anggota PGA di Bukit Kayu Hitam pada 25 Nov dan beberapa kes lain sebelum ini.

Sehari selepas insiden berbalas tembakan di Padang Besar, seorang anggota PGA yang sedang bertugas di Pos M16, Bukit Kayu Hitam cedera di perut selepas ditembak menggunakan senapang angin kira-kira 8 malam, tembakan itu dipercayai dilepaskan dari negara jiran.

Must Read

Related News