HomeNEWSAplikasi MySejahtera dilindungi, rakyat tak perlu bimbang, kata Ismail

Aplikasi MySejahtera dilindungi, rakyat tak perlu bimbang, kata Ismail

Data MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan dan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara.

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menggunakan aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana data peribadi mereka dilindungi sepenuhnya bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, MySejahtera juga menepati standard piawaian antarabangsa dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data peribadi pengguna.

“Data MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagi saya, tidak perlu bimbang menggunakannya (MySejahtera) kerana kerajaan mengawal dan memastikan data peribadi itu dilindungi,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak, data MySejahtera mudah diakses.

Ditanya mengenai saranan membenarkan perpustakaan awam di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk beroperasi, Ismail berkata perkhidmatan kemudahan awam itu tersenarai sebagai aktiviti dalam bangunan yang tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan saranan membuka kemudahan awam khusus bagi kegunaan pelajar sebagai persedian peperiksaan dan akses internet akan dibincangkan bersama kementerian terlibat serta KKM.

“Perpustakaan awam ini melibatkan banyak kementerian juga, perkara ini akan saya bawa (dalam mesyuarat) dan dibincangkan bersama kementerian terlibat, MKN dan semestinya berdasarkan nasihat KKM juga,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail yang juga menteri pertahanan menasihati rakyat supaya tidak mengambil kesempatan atas kebenaran merentas negeri.

Katanya, tidak menepati syarat dan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk merentas negeri atau daerah adalah kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang perlaksanaan sekatan jalan raya (SJR) sejak PKP dilaksanakan Mac lepas.

Must Read

Related News