
PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan sidang video dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, membincangkan perincian projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata mesyuarat itu diadakan memandangkan 31 Disember ini adalah tarikh akhir lanjutan kedua dan penangguhan projek HSR.
“Perdana menteri melihat kemajuan perbincangan dan mendapat pemahaman yang baik mengenai kedudukan Malaysia dan Singapura.
“Kedua-dua pihak akan mengumumkan perincian lebih lanjut mengenai projek HSR melalui kenyataan bersama,” kata kenyataan itu.
FMT baru-baru ini melaporkan, projek HSR dijangka disambung semula tanpa penyertaan Singapura, dengan rancangan baru laluan itu berakhir di Johor Bahru bukannya di negara berkenaan.
Sumber memberitahu FMT, Putrajaya sudah memberitahu Singapura mengenai perubahan rancangan itu, dengan laluan berakhir di Johor Bahru bukannya menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura.