
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menarik semula daging beku import dari pasaran kerana pengguna Islam dikhuatiri memakan daging tidak halal tanpa sedar.
Dalam kenyataan hari ini Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, daging beku tidak halal yang diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina akan dibungkus semula dan dilabelkan sebagai halal sebelum diedarkan ke seluruh negara.
“Disebabkan harga daging tempatan mahal, restoran dan tempat makan lain menggunakan daging beku import dalam makanan yang dihidang kepada pelanggan.
“Pengeluar daging yang diproses turut menggunakan daging beku import dalam produk mereka. Justeru, kita tidak boleh menganggap daging berlabel ‘halal’ itu benar-benar halal,” katanya.
CAP turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup daging beku import kerana ia melibatkan soal akidah orang Islam.
“Pengguna dinasihatkan tidak membeli daging beku import dan produk daging yang diproses sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa daging beku yang beredar di pasaran adalah daging yang halal,” katanya.