Cover image via
Strong Women In IT
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Beliau telah tersenarai dalam kalangan individu dalam bidang IT paling berpengaruh di dunia iaitu anugerah Strong Women in IT edisi global 2021 yang dilancarkan baru-baru ini.
Sebagai rekod, Sharala merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi syarikat The Center of Applied Data Science (CADS). Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama dan satu-satunya penduduk Asia Tenggara yang berjaya merangkul anugerah berprestij tersebut.
Anugerah Strong Women in IT ini diberikan oleh institusi penyelidikan bebas berpengkalan di Warsaw, Poland untuk mengiktiraf usaha dan sumbangan wanita dalam perkembangan dunia IT dan menggalakkan penglibatan wanita dalam peringkat pengurusan tinggi korporat di dalam bidang ini.
Sharala juga merupakan bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpengalaman luas dalam bidang telekomunikasi melebihi 15 tahun dan kini beliau memfokuskan usahanya untuk mendepani transformasi organisasi berpandukan data di rantau Asia Tenggara.
Tambahan lagi, beliau kini dilihat sebagai antara individu dalam bidang IT yang disegani di rantau ini dan seringkali dijemput untuk memberikan ucapan dan khidmat perundingan mengenai bidang ini seperti kepentingan pengoperasian organisasi berpandukan data dan juga kepentingan wanita melibatkan diri dalam bidang STEM.
Sharala turut mengambil inisiatif untuk mengasaskan CADS pada tahun 2015 untuk memberikan solusi berteraskan AI kepada organisasi-organisasi yang beroperasi di rantau Asia Tenggara. Malah, CADS merupakan satu-satunya penyedia platform berintegrasi sehenti Sains Data di rantau ini.
Selain itu, beliau juga telah bekerjasama bersama saintis data terulung dunia untuk membawa program-program Pusat Sains Data di Amerika Syarikat, The Data Incubator ke Malaysia dan juga melancarkan program pemecut sains data pertama di ASEAN pada tahun 2016 dengan kerjasama Harvard Business School Boston dengan objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Big Data Analytics (BDA) di rantau ini.
Dalam pada itu, Sharala juga pernah memenangi anugerah EY Entrepreneur of the Year 2017 (Ernst & Young) yang turut berkolaborasi bersama Persatuan Usahawan Wanita Kebangsaan (NAWEM) untuk membawakan inisiatif Data for Her untuk menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang IT di Malaysia seterusnya meningkatkan taraf ekonomi negara.
“Pembangunan golongan wanita terutamanya di dalam sektor ekonomi baru dan peluang pekerjaan yang mampan dalam situasi pekerjaan dinamik adalah sangat penting untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang diidamkan sejak sekian lama,” katanya.
Tambah beliau lagi, wanita perlu diberikan peluang yang lebih besar untuk memberikan sumbangan mereka dalam mencapai misi status negara maju di negara ini.
Sharala turut mengharapkan agar lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang yang sekian lama didominasi oleh golongan lelaki seperti bidang IT agar ianya dapat memberikan inspirasi kepada generasi wanita baru diluar sana untuk menjadikan bidang ini sebagai bidang kerjaya pilihan di masa hadapan sekali gus merapatkan jurang penglibatan wanita dalam kerjaya berpendapatan tinggi.