
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kecewa apabila kerajaan memutuskan tidak membahaskan laporan tahunannya dalam sidang Parlimen kali ini.
Dalam kenyataan hari ini badan itu berkata, laporan tahunan SUHAKAM 2019 dibentangkan di Parlimen 4 November lalu dengan mengetengahkan pelbagai isu hak asasi manusia yang mendesak dan memerlukan tindakan segera kerajaan.
“Laporan itu juga mengandungi syor SUHAKAM berkaitan hak komuniti rentan termasuk Orang Asli, wanita dan kanak-kanak, mangsa pemerdagangan manusia, pelarian dan pencari suaka serta pekerja.
“SUHAKAM mengambil maklum Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 tidak menyatakan secara khusus bahawa laporan tahunannya perlu dibahaskan di Parlimen,” katanya.
SUHAKAM berpandangan, penting laporan itu dibahaskan kerana ia akan memberi peluang kepada Ahli Parlimen membincangkan secara kritis isu hak asasi manusia yang melibatkan kepentingan awam di Malaysia dan mengesyorkan penyelesaian bersesuaian.
“Laporan tahunan SUHAKAM dibahaskan di Parlimen buat pertama kali pada 5 Dis 2019 dan SUHAKAM berharap amalan ini akan diteruskan tahun ini dan pada masa hadapan.
“SUHAKAM turut menggesa kerajaan mengiktiraf kepentingan isu hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada urusan kerajaan terutama dalam perbahasan Parlimen,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan belum bercadang membawa usul membahaskan laporan tahunan SUHAKAM kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk membahaskannya.
Ia memandangkan urusan kerajaan perlu didahulukan di Dewan Rakyat.