
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin menafikan beliau menunjukkan jari tengah di Dewan Rakyat sebelum proses pengundian belah bahagi peruntukan untuk kementeriannya bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo menafikan dakwaan itu dan berkata, mungkin Ahli Parlimen yang melihat itu tersalah nampak.
“Saya ingin tegaskan itu tidak benar saya tak tunjuk jari tengah saya dan mungkin mereka tersalah nampak.
“Tetapi kalau mereka beranggapan sedemikian saya sedia meminta maaf,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Willie tidak diterima beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Sebelum itu, Kasturi Patto (PH-Batu Kawan) berkata kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang beliau melihat Willie menunjukkan jari tengah.
“(Dia menunjukkan) jari tengahnya. Puncak Borneo,” katanya.
Kasturi berkata, Willie melakukan isyarat itu sebanyak dua kali.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata sikap Willie tidak menghormat wanita.
Azhar kemudian menangguhkan persidangan Dewan Rakyat hari ini selepas mendengar penjelasan daripada Willie.