
PETALING JAYA: Dua puluh sembilan organisasi yang menyokong kawalan senjata dan perjuangan hak asasi manusia menandatangani surat membantah penjualan peluru berpandu, jet tempur dan dron bernilai USD23 bilion kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ia juga menggesa Kongres Amerika Syarikat (AS) melarang tawaran itu.
“Harapan (kita) untuk menghentikan penjualan berkenaan sekali gus,” kata Seth Binder, pegawai sokongan Projek untuk Demokrasi Timur Tengah (POMED) yang mengetuai usaha itu.
“Tetapi jika ia tidak dapat dilakukan dalam jangka pendek, ia memberi isyarat penting kepada kerajaan Joe Biden yang bakal berkuasa, terdapat sekumpulan organisasi yang berbeza membantah penjualan senjata itu.”
Surat yang akan dihantar kepada Ahli Parlimen dan Jabatan Negara AS itu menyatakan, “penjualan senjata kepada UAE yang merupakan pihak terlibat dalam konflik di Yemen dan Libya akan menambahkan kemudaratan kepada rakyat dan krisis kemanusiaan.”
“Penjualan itu melanggar peruntukan Akta Bantuan Asing yang melarang AS menawarkan senjata dan bantuan dari segi keselamatan kepada pihak yang melakukan pencabulan terhadap hak asasi manusia dan menyekat akses kepada pertolongan kemanusiaan,” kata surat itu.
Kerajaan Presiden Donald Trump sebelum ini secara rasmi memaklumkan kepada Kongres, ia bercadang menjual 50 jet tempur canggih F-35 kepada UAE dalam tawaran senjata bernilai lebih USD23 bilion.
Tiga senator AS turut mencadangkan perundangan untuk menghentikan penjualan itu yang merangkumi dron dari syarikat swasta General Atomics, Lockheed Martin Corp F-35 dan peluru berpandu yang dibuat Raytheon.