HomeNEWSMasa untuk lihat semula erti Bangsa Malaysia, kata aktivis

Masa untuk lihat semula erti Bangsa Malaysia, kata aktivis

Chandra Muzaffar mencadangkan takrif identiti Malaysia berdasarkan kepada konsep kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan.

PETALING JAYA: Menjelang akhir 2020, dua aktivis sosial menyeru agar kemajuan negara ke arah mencapai identiti bersatu Malaysia, yang dikemukakan sebagai salah satu matlamat Wawasan 2020, dikaji semula.

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) Chandra Muzaffar dan ahli sosiologi Denison Jayasooria berkata tiada penekanan yang mencukupi pada Bangsa Malaysia yang bebas daripada implikasi etnik atau politik.

Chandra menyatakan banyak orang berjuang untuk Bangsa Malaysia selama bertahun-tahun, tetapi belum ada usaha untuk memberikan takrif yang jelas.

“Ia disebut dalam Wawasan 2020, tetapi tiada penjelasan tentang apa yang dimaksudkan dengan Bangsa Malaysia,” katanya kepada FMT. “Kita tidak mempunyai konsep yang jelas tentang apa matlamat akhir kita dan ia terus menjadi masalah sehingga ke hari ini.

Chandra Muzaffar.

“Inilah sebabnya mengapa kita sudah tersasar. Bukan sahaja kerajaan, tetapi seluruh masyarakat perlu berusaha menangani perkara ini.

“Pemikiran jangka panjang dan analisis mendalam bukan salah satu kekuatan kita.”

Chandra mencadangkan agar takrif identiti Malaysia berdasarkan konsep kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, seorang rakyat Malaysia harus dikenali sebagai seseorang yang boleh memahami bahasa kebangsaan, setia kepada Raja dan negara, dan merasa terikat dengan evolusi sejarah dan perkembangan budaya negara.

“Seorang rakyat Malaysia bukan seseorang dari komuniti atau warisan tertentu. Rakyat Malaysia harus menjadi seseorang yang memenuhi syarat kewarganegaraan Malaysia dan mempunyai rasa bangga pada negara.”

Denison Jayasooria.

Jayasooria, bekas profesor advokasi awam di Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata identiti nasional tidak boleh dilihat sebagai ancaman terhadap warisan budaya orang lain, sekadar suatu wadah untuk kepelbagaian budaya.

Katanya, salah satu elemen kepelbagaian adalah kanak-kanak hasil perkahwinan campur.

Namun, beliau juga berkata usaha untuk mencapai identiti Bangsa Malaysia sering dirumitkan dengan pembatasan etnik dan penggunaan konsep perpaduan secara politik.

“Masalah sebenar adalah mesej politik,” katanya. “Ahli politik berusaha mengukuhkan kedudukan dengan dakwaan eksklusif dan ini memecah belahkan kita, tetapi selepas mereka terpilih, mereka dakwa mereka inklusif, lalu menimbulkan kekeliruan.”

Jayasooria menyeru penubuhan beberapa bentuk kumpulan pemantau, seperti sebuah suruhanjaya perpaduan bebas, untuk mengawasi hal-hal perpaduan kebangsaan tanpa berat sebelah atau prejudis.

Katanya, pembentukan identiti nasional mesti bermula dari rakyat, terutama golongan muda.

“Pendedahan kepada identiti rakyat Malaysia dalam pembelajaran kanak-kanak diperlukan. Penekanan sebenar mestilah kita semua warga Malaysia. Warisan dan latar belakang kita mungkin berbeza, tetapi kita semua setia, kepada Raja dan negara.”

Must Read

Related News