HomeNEWSJohor peruntuk RM6.45 juta selenggara prasarana Sukma siap dibina

Johor peruntuk RM6.45 juta selenggara prasarana Sukma siap dibina

Onn Hafiz Ghazi menjawab soalan lisan di sidang DUN Johor hari ini. (Gambar Pejabat MB Johor)

ISKANDAR PUTERI: Johor memperuntukkan RM6.45 juta untuk tahun depan bagi menyelenggara prasarana Sukan Malaysia (Sukma) yang 99% siap dibina.

Memandangkan penganjuran Sukma ditangguhkan sehingga 2022, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri, Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor akan memanfaatkan kemudahan sukan yang siap dibina sebaiknya dan memastikan penyelenggaraan baik bagi mengelakkan ia menjadi projek gajah putih.

“Kos keseluruhan anjuran temasya Sukma 2020 sebanyak RM617.9 juta, kos pembangunan prasarana dan kemudahan sukan bagi Sukma 2020 berjumlah RM467.9 juta, manakala kos pengurusan adalah RM150 juta.

“Daripada jumlah tersebut, RM142 juta sudah diperuntukkan kerajaan pusat untuk pembangunan prasarana dan RM65 juta untuk pengurusan,” katanya menjawab soalan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-Semerah), K Raven Kumar (BN-Tenggaroh) dan Osman Sapian (PPBM-Kempas) di sidang Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Onn Hafiz berkata, penyelarasan sudah dibuat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan prasarana siap dibina tidak menjadi projek gajah putih.

“Lokasi penganjuran Sukma ini akan menjadi tempat latihan atlet Johor di bawah program Majlis Sukan Negeri Johor dan juga akan digunakan sebagai lokasi penganjuran pertandingan tempatan sepanjang 2021 sehingga menjelang Sukma Johor 2022, bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.”

Bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican dilaporkan berkata, Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99% bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Must Read

Related News