HomeNEWSPolis terima 180 kes peras ugut guna video, gambar lucah di Selangor

Polis terima 180 kes peras ugut guna video, gambar lucah di Selangor

Polis berkata, mangsa akan diperdaya di media sosial tidak kira lelaki atau wanita, umur serta bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahu sehingga mangsa sanggup berkongsi gambar atau video bogel dan lucah.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 180 kes pemerasan melibatkan penyebaran video dan gambar lucah dicatatkan di sepanjang tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, kebanyakan laporan diterima melibatkan individu tidak dikenali menghantar gambar atau video lucah bukan milik mangsa, selain melibatkan kenalan ataupun sindiket yang mencari mangsa menerusi media sosial.

“Sebanyak 110 kes melibatkan individu tidak dikenali menghantar video atau gambar bukan milik mangsa untuk ganggu mangsa, 42 kes melibatkan kenalan seperti bekas suami dan bekas teman lelaki dan selebihnya sindiket yang mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa memberikan video aksi lucah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mangsa akan diperdaya di media sosial tidak kira lelaki atau wanita, umur serta bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan sehingga mangsa sanggup berkongsi gambar atau video bogel dan lucah.

“Sindiket akan merekod video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkan video serta gambar tersebut.

“Antara aplikasi yang sering digunakan sindiket ini adalah Wechat, Facebook, Michat, WhatsApp, laman web (GODATE2NIGHT), Locanto.asia, Line dan lain-lain lagi.”

Katanya, sindiket itu mengugut mangsa dengan meminta RM10,000 hingga RM20,000 dan jika mangsa tidak berbuat demikian, gambar bogel mereka akan disebarkan di media sosial serta kepada ahli keluarga dan rakan.

Justeru, Fadzil menasihatkan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan helah sedemikian serta bijak menggunakan media sosial.

“Aksi yang mereka lakukan secara langsung di media sosial amat mudah dirakam dan disimpan pihak kedua.

“Janganlah mempercayai sesiapa saja yang baru dikenali di media sosial kerana ramai yang menjadi mangsa kumpulan scammer ini.”

Must Read

Related News