HomeNEWSBeratur panjang untuk had bilangan pesakit, ikut SOP Covid-19, kata pengarah Hospital...

Beratur panjang untuk had bilangan pesakit, ikut SOP Covid-19, kata pengarah Hospital Selayang

Tangkap layar kilip video tular menunjukkan pesakit beratur panjang bagi mendapatkan rawatan di Hospital selayang baru-baru ini.

PETALING JAYA: Hospital Selayang berkata, klip video tular menunjukkan pesakit beratur panjang bagi mendapatkan rawatan di Klinik Pakar hospital itu baru-baru ini adalah berikutan pelaksanaan SOP Covid-19 dengan mengehadkan bilangan pesakit pada satu- satu masa.

Pengarahnya, Dr Sakinah Alwi berkata, langkah itu secara tidak langsung mengakibatkan ramai pesakit beratur di luar Klinik Pakar hospital berkenaan.

“Pihak Hospital Selayang ingin memaklumkan bahawa sepanjang tempoh pandemik Covid-19, penjarakan fizikal diamalkan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Memandangkan Hospital Sungai Buloh merupakan hospital utama Covid-19 serta Hospital Kuala Lumpur dijadikan hospital hibrid bagi merawat pesakit Covid-19, Hospital Selayang membantu supaya kesinambungan rawatan pesakit di hospital tersebut tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Hospital Selayang Dr Sakinah Alwi.

Ini berikutan klip video dan kenyataan yang tular di laman media sosial berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Sakinah berkata Hospital Selayang terus memberikan perkhidmatan rawatan bagi pesakit sedia ada.

Katanya, pertambahan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang pada masa ini tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata antara langkah diambil adalah menyediakan khemah di tapak meletak kereta di hadapan lobi Klinik Pakar hospital berkenaan.

“Langkah ini adalah tindakan sementara sehingga anjung pelawat yang dirancang dapat direalisasikan,” katanya.

Sakinah berkata pihaknya juga menambah baik sistem laluan pesakit mengikut waktu temu janji yang ditetapkan bagi menjamin tidak berlaku kesesakan di ruang menunggu klinik.

Katanya, pihak hospital juga memulakan perkhidmatan bilik ambil darah di luar Klinik Pakar lebih awal dari waktu yang dirancang bagi mengurangkan bilangan pesakit berbaris di laluan sama ke klinik berkenaan.

Must Read

Related News