HomeNEWSJohor ‘hilang’ RM5.74 bilion pelaburan sektor pengilangan akibat pandemik

Johor ‘hilang’ RM5.74 bilion pelaburan sektor pengilangan akibat pandemik

Penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik Covid-19 memberi kesan langsung yang buruk terhadap sektor pelaburan Johor. (Gambar Reuters)

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan penurunan pelaburan dalam sektor pengilangan sebanyak RM5.74 bilion hingga September lalu berikutan penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad berkata, dalam tempoh itu Johor menerima pelaburan dalam sektor pengilangan hanya berjumlah RM5.71 bilion, berbanding RM11.455 bilion tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah pelaburan tersebut, nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ialah RM3.39 bilion, manakala pelaburan domestik pula sebanyak RM2.32 bilion.

“Jika dibandingkan pada 2019, nilai pelaburan asing tahun lalu sebanyak RM6.538 bilion, manakala pelaburan domestik sebanyak RM4.916 bilion. Penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik Covid-19 memberi kesan langsung yang buruk terhadap sektor pelaburan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sharifah Azizah (BN-Penawar) dan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang meminta menyatakan jumlah terkini pelaburan asing yang masuk ke Johor tahun ini.

Izhar berkata, tahun ini sektor pengangkutan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu RM1.168 bilion, diikuti mesin dan kelengkapan (RM716.23 juta), elektrik dan elektronik (RM661.17 juta), tekstil dan produk tekstil (RM631.61 juta) serta produk mineral bukan metalik (RM392.37 juta).

Must Read

Related News