BANGKOK: Wanita warga Thailand yang baru pulang dari Myanmar dan tidak menjalani kuarantin wajib adalah antara lima kes baru positif Covid-19 di Thailand yang dilaporkan hari ini.
Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul jangkitan virus tersebut di negara itu sebanyak 3,966 kes setakat ini, kata Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sophon Iamsirithawon.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata wanita berusia 29 tahun itu yang bergejala, termasuk mengalami demam dan cirit-birit, tiba di Mae Sai, Chiang Rai melalui sempadan darat sebelum menaiki bas awam ke Chiang Mai pada Selasa.
Menurut Dr Sophon, wanita itu yang ingkar arahan kuarantin wajib 14 hari, bertindak mengunjungi pusat beli-belah, pawagam, restoran dan sebuah pusat hiburan.
Selain itu, dia menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan e-hailang di Chiang Mai, sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada Khamis apabila hilang deria bau.
Wanita itu diuji positif pada hari sama dan kini dirawat di sebuah hospital di Chiang Mai, sementara usaha mengesan kontak diperhebat oleh pihak berkuasa, katanya.
Menurut Pejabat Kesihatan Awam Chiang Mai, sekurang-kurangnya 326 individu dikesan berkemungkinan mempunyai kontak dengan pesakit tersebut, termasuk 105 orang yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Dr Sophon berkata, empat lagi kes baru Covid-19 merangkumi dua orang yang tiba dari India serta masing-masing seorang dari Filipina dan Sweden.
Jumlah kematian akibat Covid-19 di Thailand kekal 60 kes.
Dalam perkembangan berkaitan, Thailand menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal British-Sweden, AstraZeneca Plc, untuk memperoleh 26 juta dos vaksin Covid-19 berpotensi bagi melaksanakan pemvaksinan ke atas 13 juta rakyatnya.
Perjanjian itu ditandatangani semalam.
Vaksin itu yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford dilapor menunjukkan antara 70 dan 90% keberkesanan.