PETALING JAYA: Polis menahan seramai 577 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan 522 individu dikompaun, manakala 55 lagi direman.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan terbanyak yang menyumbang kepada penahanan itu adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, iaitu sebanyak 215 kesalahan.
“Kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (113), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (9),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, sementara 2 penyeludup dan 4 kenderaan darat diberkas dalam 278 sekatan jalan raya di seluruh negara.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong tikus.”