HomeNEWSKerajaan pastikan Malaysia terus tarik pelaburan asing, domestik, kata Tengku Zafrul

Kerajaan pastikan Malaysia terus tarik pelaburan asing, domestik, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, kerajaan komited menjadikan Malaysia destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk kedua-dua pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz.

“Pelaburan penting untuk Malaysia dan kerajaan akan memastikan ia tetap menarik untuk kedua-dua pelabur asing dan domestik,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV hari ini.

Menteri kewangan itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi menyediakan pakej insentif khas untuk teknologi nilai tambah tinggi di bawah Belanjawan 2021.

“Dana ini bertujuan menyokong pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam aeroangkasa serta kluster elektronik seperti di taman perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Tengku Zafrul turut menekankan perlunya automasi dan digitalisasi bagi menggerakkan ekonomi negara ke hadapan.

Selain itu, Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyokong syarikat teknologi tinggi dan inovatif, katanya.

Dana ini akan membolehkan Malaysia berdaya saing dan mengekalkan kedudukannya dalam ekosistem rantaian bekalan global serta melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul juga berkata kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi.

Inisiatif untuk ini, termasuk melanjutkan insentif cukai Hab Prinsipal sehingga 31 Dis, 2022 dan insentif cukai baru untuk mewujudkan pusat dagangan global pada kadar konsesi 10% untuk lima tahun dan tempoh pembaharuan untuk lima tahun lagi.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, (JENDELA) untuk menyediakan kesalinghubungan bagi 430 sekolah seluruh negara.

Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi membangunkan dan menambahbaik perkhidmatan jalur lebar.

Must Read

Related News