GEORGR TOWN: Pakar pengangkutan tidak menaruh harapan kepada pelan laluan Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dikatakan berakhir di Johor Bahru, menyatakan projek itu mungkin gagal jika tidak membabitkan Singapura.
FMT melaporkan, menurut sumber Malaysia merancang membina laluan yang berakhir di Johor Bahru, bukannya Singapura. Pegawai terbabit berkata perbincangan mengenainya masih diteruskan tetapi tidak mengulas lanjut laporan itu.
Perunding pengangkutan Goh Bok Yen berkata, jika spekulasi itu benar, projek berkenaan mungkin dibatalkan sepenuhnya dan kemungkinan besar ia akan gagal.
Beliau berkata, mereka yang mahu laluan itu berakhir di JB gagal melihat gambaran lebih luas, iaitu menghubungkan ekonomi mega Kuala Lumpur dan Singapura, yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.
Goh berkata, limpahan ekonomi akan dibawa HSR sangat besar kerana KL akan menjadi “kawasan pedalaman” kepada Singapura manakala bagi rakyat Malaysia, republik itu akan menjadi pintu masuk kepada pasaran antarabangsa.
“Dan konsep HSR ialah apabila penumpang memasuki terminal HSR dari salah satu negara, anda akan mendapat pelepasan imigresen serta-merta kerana pegawai kedua-dua negara itu akan ditempatkan di kedua-dua penghujung terminal.
“Ia membolehkan anda secara praktikal berjalan dari KL terus ke lorong Singapura tanpa masalah untuk melepasi imigresen tetapi jika laluan berakhir di JB ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kelebihan,” katanya.
Goh berkata, perkhidmatan bas ekspres KL-JB dan perkhidmatan keretapi KTM juga akan terjejas.
“KTM secara praktikal boleh digunakan dalam perjalanan KL-JB dengan perkhidmatan keretapi elektriknya yang berkelajuan 160km/jam. Memandangkan ia landasan berkembar dan boleh diubah supaya tidak berhenti di mana-mana antara perjalanan, manakala perkhidmatan bas boleh menyambungkan bandar yang lebih kecil,” katanya.
Sekiranya pelan HSR diteruskan seperti sebelum ini dengan menetapkan laluan berakhir di Singapura, ia akan hanya bersaing dengan perjalanan melalui udara. Beliau berkata, syarikat penerbangan terpaksa mengubah pendekatan mereka untuk bersaing, dengan menawarkan penerbangan ulang-alik tanpa kelewatan, mirip laluan udara yang sibuk menghubungkan bandar utama di Eropah.
Goh berkata, meneruskan perkhidmatan HSR yang berakhir di JB akan menjadikan projek bernilai beebilion ringgit itu sia-sia, jika mengambil kira kos pembinaan dan pengambilan tanah.
“Akhirnya, anda ‘membuli’ pengusaha pengangkutan kecil, ironinya dengan menggunakan wang pembayar cukai. Saya katakan, jika atas sebab tertentu kita boleh menyingkirkan Singapura, biarlah kita membayar ganti rugi kepada mereka dan keluar daripadanya.
“Ini adalah usaha yang mendatangkan kerugian jangka panjang, lebih baik berhenti daripada pergi ke arah yang salah,” katanya.
Dalam jangka masa panjang, Goh berkata HSR akan melepasi KL, fasa seterusnya ke Pulau Pinang dan kemudian ke Bangkok, untuk menjana koridor pertumbuhan yang akan melonjakkan ekonomi.
Profesor kejuruteraan pengangkutan Ahmad Farhan Mohd Sadullah dari Universiti Sains Malaysia berkata, dengan menyingkirkan Singapura akan mengubah asas projek itu, menyatakan cara terbaik ialah kembali kepada tujuan asal HSR, iaitu menggalakkan perjalanan antara KL dan Singapura.
Ahli perniagaan mahu HSR tamat di Singapura bukan JB
Pemain industri Johor tidak bersetuju dengan cadangan JB dijadikan stesen akhir HSR.
Loh Liam Hiang dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru (JBCCCI) berkata: “Kedua-dua negara sudah bersetuju laluan dari KL ke Singapura. Apa guna kita ubah sekarang?”
Christina Tee dari Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata, JB boleh diakses dengan mudah melalui landasan KTM sedia ada dan melalui lebuh raya, menyatakan tujuan HSR tidak akan tercapai sekiranya ia berakhir di situ.
Presiden Persatuan Peniaga India Johor P Sivakumar berkata, keseluruhan idea bagi HSR ialah untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara. “Singapura sudah berbelanja untuk memulakan projek itu, tidak adil bagi Malaysia untuk mengubah pelan di pertengahan jalan,” katanya.
Tan Seng Leong dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berkata, kerajaan harus membuat keputusan terhadap perubahan berkenaan lebih awal sebelum projek Sistem Transit Rapid (RTS) dicadangkan untuk menghubung JB dan Singapura.
Tan berkata, RTS lebih daripada cukup untuk menghubungkan JB ke Singapura dan ada kaedah lain yang berkesan untuk ke JB dari KL.
K Krishnan dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor berkata, ia tidak sepenuhnya merugikan sekiranya HSR berakhir di JB kerana RTS akan dapat mengangkut penumpang ke Singapura.