PETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak menolak Perikatan Nasional (PN) mampu menang 2/3 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15, sekiranya momentum kerajaan dalam mentadbir negara kekal.
“Belanjawan 2021 juga sudah lulus di peringkat dasar. Jika kita kekalkan momentum hari ini, percayalah tuan-tuan, kita akan berjaya pada pilihan raya akan datang.
“Malah kembali dengan majoriti 2/3 yang tidak pernah dicapai sejak hampir dua dekad,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-3 PPBM yang disiarkan di Facebook PPBM.
Wan Fayhsal juga mengusulkan 20% calon pilihan raya dan lantikan PPBM mestilah anak muda.
Katanya, ini termasuk ahli Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara, ahli Dewan Undangan Negeri, ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan khidmat sokongan anggota pentadbiran.
“20% tak banyak tapi memadai untuk anak muda. Kalau lebih lagi baik,” katanya.
Golongan mahasiswa dan profesional anak muda perlu diyakinkan untuk aktif politik bersama PPBM.
“Pemuda PPBM perlu susun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung mahasiswa PPBM negara,” katanya.
Wan Fayhsal mengingatkan perwakilan separuh rakyat berumur 30 tahun atau lebih muda.
Katanya, menjelang berkuatkuasanya had undi minimum 18 tahun pada Julai 2021, anak muda akan menjadi kumpulan pengundi terbesar yang wajib disantuni.
Cadangan itu antara 5 teras usul yang beliau kemukakan mewakili Pemuda PPBM.