IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikat kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.
Perintah tahanan reman selama dua hari bermula hari ini dikeluarkan majistret Umzarul An Nur Umar di mahkamah majistret pagi ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Perak pada 3.45 petang semalam kerana dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kepada setiausaha kerajaan negeri untuk diluluskan.
Menurut sumber, dokumen berkenaan merupakan surat tawaran pelantikan sebagai ketua pegawai eksekutif bertaraf jawatan tetap dan menerima gaji RM20,000 sebulan walhal dalam Minit Mesyuarat Jawatankuasa Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bil.14/2017 bertarikh 8 Dis 2017 memutuskan lantikan jawatan tersebut adalah secara kontrak.
Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.