HomeNEWSRina Harun cadang kuota 30% kerusi PRU15 untuk wanita

Rina Harun cadang kuota 30% kerusi PRU15 untuk wanita

Ketua Wanita PPBM Rina Harun menyeru seluruh Wanita PPBM terus memperkasakan diri untuk menjadi bakal wakil rakyat.

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PPBM Rina Harun mencadangkan kuota 30% kerusi diperuntukkan kepada calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau akan memastikan kuota itu ditunaikan dan calon wanita akan diberikan kawasan strategik untuk menang, bukan diletakkan di kawasan “asal muat”.

“Saya yakin, rakan-rakan sayap wanita rakan sekutu kita seperti Wanita PAS sama-sama mahukan perkara ini tertunai,” katanya ketika berucap pada perhimpunan agung tahunan kali ke-3 PPBM yang disiarkan di Facebook PPBM hari ini.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru seluruh Wanita PPBM terus memperkasakan diri untuk menjadi bakal wakil rakyat.

Katanya, Wanita PPBM akan mengadakan kursus kepimpinan untuk melatih pelapis negara dan mahukan calon yang menang, bukan sekadar menjadi calon sahaja.

“Cuba kira berapa ramai Wanita PPBM yang merupakan wakil rakyat dalam parti kita dan juga berapa ramai Wanita PPBM yang bertaraf menteri serta timbalan menteri?

“Kerana itu kita perlu melatih diri kita menjadi seorang pemimpin yang terbaik, bermula dengan kita mendekati rakyat dari segenap lapisan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keahlian Wanita PPBM ketika ini menghampiri 200,000 orang.

“Oleh itu, kita perlu tambahkan lagi keahlian, kuatkan lagi,” katanya.

Must Read

Related News