HomeNEWS‘Kongsi rezeki’, taska memasak untuk warga kota di kala pandemik

‘Kongsi rezeki’, taska memasak untuk warga kota di kala pandemik

Makanan yang diberi percuma oleh guru Taska kepada yang memerlukan.

SUBANG JAYA: Zalina Zakaria 54, tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan suasana sepi taskanya. Ada guru tidak dapat meneruskan kerja kerana tidak cukup dana untuk upah.

“Guru kebanyakan muda lagi dan mereka memerlukan gaji untuk meneruskan kebelangsungan hidup tapi kami tidak mampu,” luah Zalina dengan air mata berlinangan.

Merasakan perlu melakukan sesuatu, pengusaha Amazing Seed Educare and Enrichment Centre ini mendapat ilham untuk memberi makanan percuma apabila PKPB melanda kali kedua.

“Misi sekolah kita ‘iman before knowledge’. Jadi kita hendak bawa misi itu kepada diri kita sendiri…bagaimana kita hendak memberi di kala kita sendiri susah.”

Zalina Zakaria.

Taska menjadi sepi tanpa anak murid disebabkan PKPB. Walaupun masih mengajar dalam talian, guru mempunyai banyak masa senggang berbanding, oleh itu mereka secara sukarela hendak melakukan aktiviti bermanfaat.

“Kami cuba hendak tukarkan kesusahan dan kesulitan kami dengan mengisi waktu senggang kami dengan sesuatu yang lebih produktif.”

Zalina mulakan dengan duit sendiri sebanyak RM200. Ada juga guru sudi membantu dan sanggup melakukan kerja tanpa upah.

“Dana permulaannya dari kami sendiri. Cikgu lah yang membeli plastik, air kotak. Daripada sekolah pula, ada ibu bapa bayar seperti biasa, memberi infaq kepada kami. Kami pusingkan semula dengan doa moga rezeki mereka dimurahkan rezeki lagi.”

Tugasan memasak dilakukan oleh Zalina sendiri dengan dibantu guru sukarela. Zalina perlu pastikan makanan siap sebelum 12 tengah hari kerana perlu diedarkan pada waktu makan.

Menu makanan berbeza setiap hari. Mereka akan berbincang sesama sendiri menu apa yang akan dimasak.

Puan Zalina Zakaria memasak sendiri dan dibantu oleh guru yang lain.

“Kami masak di dapur sekolah. Kami berpakat-pakat pasal menu bergantung pada ‘budget’ yang ada. Kami masak bersama sama. Dalam sehari kami masak satu protein dan satu sayur.”

Setelah ramai yang tahu apa yang mereka lakukan, ada yang datang membantu.

“Alhamdulillah, apabila orang luar sudah mula tahu, ada yang memberi sumbangan.”

Guru Taska bergotong royong membungkus makanan untuk edaran.

Zalina setiap hari menyediakan dalam 50 hingga 80 pek makanan untuk diedarkan bergantung pada “budget” hari itu.

Setelah siap masak dan bungkus, makanan tersebut akan diedar oleh guru-guru di depan taska.

Sumbangan tidak mengira siapa namun sasaran utama adalah sesiapa yang memerlukan.

Penghantar makanan menerima makanan percuma dari Taska.

“Kita tidak tahu mungkin mereka bawa kereta belum tentu ada makanan di rumah. Ambil selagi anda memerlukan, kita kongsi apa yang ada,” kata Puan Zalina dengan linangan air mata.

Nur Hazwani.

“Harapan kami apabila sekolah dibuka kelak, bila kami sudah ada kemampuan dari segi kewangan dan tenaga, kami dapat meneruskan usaha ini dan dapat bantuan dari pihak diluar sana..

Harapan yang sama diluahkan Nur Hazwani 38, pengurus taska.

“Harapan saya, kami boleh memberi sumbangan lagi kepada orang diluar sana yang memerlukan dari bentuk lain pula, disebabkan mungkin kami tidak dapat memasak lagi bila persekolahan bermula. Mungkin kami dapat memberi bahan-bahan kering pula untuk mereka masak sendiri.”

Must Read

Related News