PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata Putrajaya perlu menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik dan Bugaya sehingga jangkitan Covid-19 menurun manakala pakar kesihatan menyatakan kajian semula protokol kebersihan dan keselamatan perlu dilakukan sebelum PRK diadakan.
Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, rakyat akan faham jika PRK ditangguhkan.
Lagipun, katanya, PRK Batu Sapi di Sabah pada 5 Disember ditangguhkan kerana peningkatan kes Covid-19 dan rakyat memahami sebab di sebaliknya.
“Kalau kita boleh lakukan di Batu Sapi, kenapa tidak boleh buat perkara sama di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah?” soalnya.
“Terlalu awal untuk mengadakan PRK pada Januari,” katanya kepada FMT dengan merujuk pengumuman dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK Gerik dan Bugaya akan diadakan pada 16 Januari.
PRK itu diadakan susulan kematian Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman daripada Barisan Nasional (BN) pada 16 November, manakala Adun Bugaya, Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan meninggal dunia sehari selepas itu.
PRK Batu Sapi diadakan susulan kematian Ahli Parlimen, Liew Vui Keong daripada Warisan.
Awang Azman berkata, kerajaan tidak boleh meletakkan kesihatan rakyat dalam risiko dan PRK harus diadakan apabila kes Covid-19 berkurangan sehingga 100 kes sehari.
Penganalisis politik yang sudah bersara Azmi Hassan berkata, SPR hanya menjalankan tugasnya dengan mengumumkan tarikh PRK semalam.
“Disebabkan mereka menerima notis kekosongan kerusi, mereka mempunyai kewajipan untuk menyatakan tarikh PRK,” katanya memaklumkan kerajaan boleh mempertimbang untuk menangguhkan PRK sehingga kes Covid-19 berkurang.
Penguatkuasaan ketat
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, tidak boleh ada “double standard” dengan membenarkan PRK Gerik dan Bugaya tetapi tidak di Batu Sapi.
“Jika SPR yakin PRK tidak akan mencetuskan lebih jangkitan, maka mereka harus membenarkan PRK Batu Sapi juga,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, PRK boleh diadakan tetapi penguatkuasaan ketat dan kajian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) diperlukan.
Lee berkata, ceramah politik boleh diadakan tetapi barisan pertama tempat duduk harus dijarakkan sekurang-kurangnya 3.5m dari pentas.
“Orang ramai perlu duduk dengan jarak sekurang-kurangnya 1m antara lain,” katanya.
Beliau berkata, banyak negara seperti Australia, Singapura dan Korea mengadakan pilihan raya ketika krisis Covid-19 dengan pengundi mematuhi peraturan kesihatan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam berkata, rakyat mendapat pengajaran daripada pilihan raya Sabah yang mencetuskan lonjakan jangkitan di seluruh negara.
“Jika PRK diadakan, semua pihak mesti mematuhi SOP. Orang ramai tidak boleh memeluk antara satu sama lain atau berjabat tangan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata walaupun SPR mungkin membuat semua cadangan, orang ramai mungkin tidak mematuhi peraturan jika tiada penguatkuasaan yang ketat.