KUALA LUMPUR: Venezuela kagum dengan Asean yang mampu membawa impak kukuh kepada rakyatnya dan berharap dapat mengadakan pakatan kuat dengan blok dianggotai 10 negara itu.
Menteri Tenaga Rakyat untuk Hal Ehwal Luar Venezuela Jorge Arreaza, semasa persidangan Asean ketiga di Venezuela pada Khamis berkata, awal tahun ini Caracas menghantar permohonan secara rasmi untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asean, langkah penting untuk menjalin hubungan lebih erat dan produktif dengan masyarakat Asean.
“Walaupun dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, Venezuela mengadakan pakatan kukuh dengan negara seperti China, Rusia, Turki dan India, dan kini kami mahu adakan pakatan dengan 10 negara anggota Asean,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Pada persidangan itu, wakil-wakil negara Asean, negara anggota yang diberi tauliah di Caracas dan kerajaan Venezuela mengesahkan komitmen untuk mempererat kerjasama.
Antara fokus utama ialah kepada “Kerjasama Selatan-Selatan sebagai cara untuk memajukan pembangunan selepas Covid-19.”
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik dan Keselamatan Asean Hoang Anh Tuan berkata, persidangan itu berfungsi sebagai platform bagi kedua-dua pihak (Asean dan Venezuela) untuk mempererat hubungan dan bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama berpotensi.
Beliau mengucapkan tahniah atas usaha Venezuela untuk mempromosi kerjasama dengan blok itu, yang diterjemahkan melalui pelantikan duta ke Asean dan permohonan menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) di Asia Tenggara.
“Pengajaran yang boleh diambil daripada pandemik Covid-19 ialah kepentingan kerjasama antarabangsa dalam dunia yang saling berkaitan, kerana tidak ada negara dapat menangani krisis ini bersendirian.
“Menangani pandemik dan kesan sosioekonomi memerlukan penyatuan dan tindakan di semua peringkat masyarakat antarabangsa, itulah sebabnya kerjasama Asean dengan negara rakan yang lain termasuk Venezuela, lebih relevan dan penting berbanding sebelumnya,” kata Anh Tuan.