KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol, yang berdiri menyokong usul undi belah bahagi terhadap belanjawan di Dewan Rakyat semalam berkata, beliau tidak mendapat mesej mengenai pendirian saat akhir partinya dalam isu itu.
Katanya, pada mulanya keputusan sebulat suara dibuat untuk menolak belanjawan tersebut.
Bagaimanapun selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sejumlah bantuan kepada rakyat dalam ucapan penggulungannya, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memutuskan untuk membatalkan undian belah bahagi melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya terbawa-bawa oleh perasaan tidak berpuas hati kerana pelbagai peruntukan untuk kawasan saya dibatalkan (dalam ucapan penggulungan itu),” katanya.
“Jadi saya tidak memeriksa Whatsapp dan terlepas arahan parti itu,” katanya kepada FMT.
“Semua Ahli Parlimen DAP mentertawakan saya kerana saya satu-satunya wakil DAP yang berdiri.”
Beliau bagaimanapun tidak menerima respons negatif daripada pemimpin parti itu, termasuk setiausaha agungnya, Lim Guan Eng.
“Biar apapun, perjuangan tetap diteruskan. Kami akan terus membahaskan bahagian yang tidak kami setujui di peringkat jawatankuasa,” katanya.
“Menteri kewangan belum menjawab beberapa soalan yang dibangkitkan, terutama jumlah peruntukan kepada Jabatan Hal ehwal Khas (Jasa) yang akan dipotong,” katanya.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen juga berkata, Ahli Parlimen pembangkang akan membahaskan peruntukan belanjawan kepada setiap kementerian pada minggu-minggu akan datang.
Beliau berkata, sekiranya peruntukan kepada semua kementerian diluluskan sekalipun, bacaan kali ketiga belanjawan juga melibatkan pengundian.
“Jika Jabatan Perdana Menteri gagal menjawab pertanyaan Ahli Parlimen berhubung perbelanjaan yang dicadangan dengan memuaskan, maka kami mungkin akan mengusulkan undi belah bahagi. Setiap undi akan dikira,” katanya.
Chong yang merupakan Ahli Parlimen Stampin juga menjelskan bahawa Mordi tidak maklum mengenai keputusan saat akhir itu.
“Oleh kerana itu beliau berdiri menyokong undi belah bahagi,” katanya.
“Tidak semua mendapat mesej itu tepat masa. Tapi tak mengapalah,” katanya.