JOHOR BAHRU: Kesemua 14 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, di sini, diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing, mulai Khamis sehingga 9 Dis ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor Yahya Madis berkata, arahan itu adalah susulan daripada kes positif Covid-19 melibatkan seorang anggota dari balai berkenaan yang mendapat jangkitan daripada ibu mentua yang tinggal bersamanya (daripada kluster Kobena).
Yahya berkata, setakat hari ini, tiga anggota JBPM negeri Johor yang positif Covid-19 mendapat jangkitan di tempat tinggal mereka.
“JBPM sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di balai bomba dan tempat operasi. Setakat ini tiada anggota bomba JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi di BBP Johor Jaya masih berjalan seperti biasa dan kawasan peralatan di balai berkenaan juga disanitasi.
Buat masa ini, sejumlah anggota Bomba BBP Pasir Gudang dipinjamkan ke balai berkenaan untuk pengoperasian.