HomeNEWSKumpulan seru perkenal insurans kesihatan nasional, lindungi semua rakyat

Kumpulan seru perkenal insurans kesihatan nasional, lindungi semua rakyat

Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) berkata skim insurans kesihatan nasional akan menanggung bebanan institusi kesihatan awam.

PETALING JAYA: Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) meminta pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional yang komprehensif, menyatakan ia penting kerana rancangan sedia ada hanya meliputi golongan miskin.

Presidennya Dr Wong Teck Wee memberitahu FMT, beliau sangat bimbang bagi mereka yang berada dalam kumpulan pendapatan M40 yang bergelut dengan kos penjagaan kesihatan untuk penyakit serius.

Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan tidak merancang memperkenalkan program insurans kesihatan nasional untuk memberi perlindungan kepada semua rakyat.

Wong berkata, skim mySalam yang ada sekarang tidak cukup baik kerana masih ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan di institusi swasta. Sebilangan mungkin memerlukan rawatan di fasiliti swasta kerana institusi kesihatan awam selalunya sesak, katanya.

“Jika semua orang dalam keluarga M40 sihat, maka tidak ada masalah,” katanya. “Tetapi katakan seseorang sakit. Ini akan menjadi beban berat bagi penjana utama pendapatan (dalam keluarga).”

Jelas beliau, program insurans kesihatan nasional akan membantu mereka dari kategori pendapatan itu dengan bil kesihatan, terutama untuk pembedahan serius atau keadaan kronik.

Bawah skim mySalam, mereka yang layak boleh menuntut sebanyak RM8,000 untuk penyakit kritikal. Mereka juga berhak mendapat RM50 sehari untuk maksimum 14 hari kemasukan ke hospital dalam setahun.

Wong berkata, terdapat senarai menunggu lama untuk operasi kritikal di hospital kerajaan. Dakwanya, menerusi tinjauan dilakukannya menunjukkan mereka yang memerlukan pembedahan untuk kemalangan serius seperti patah tulang perlu menunggu hingga enam minggu di hospital tertentu.

“Jenis perkhidmatan itu tidak berubah sejak 20 tahun lalu,” katanya, mengaitkan dengan kekurangan sumber dan dana untuk sektor kesihatan awam.

Beliau juga berkata, tempoh menunggu pembedahan pintasan jantung di hospital kerajaan tertentu boleh mangambil masa enam bulan hingga setahun.

“Seorang pesakit boleh mati sementara menunggu pembedahan,” katanya. “Tanpa insurans kesihatan nasional, mereka dari B40 dan M40 akan terus menderita.

“Apa yang skim itu boleh buat adalah membolehkan orang pergi ke hospital swasta. Sumber dan fasiliti di sektor swasta lebih daripada cukup dan kurang digunakan.”

Katanya, dana boleh datang daripada majikan, pekerja dan kerajaan.

“Mereka yang menganggur atau dari B40, caruman mereka boleh menjadi sifar. Bagi golongan T20, caruman mereka kepada simpanan boleh mencecah 100%.

“Majikan juga mesti mencarum sesuatu,” katanya.

Must Read

Related News