PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, menghantar usul bagi mendesak pemansuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), yang kini dijenamakan sebagai J-KOM, kerana sudah jangka kerajaan tidak akan berganjak untuk ‘memotong sepenuhnya’ peruntukan bagi jabatan yang dikaitkan dengan propaganda itu.
Wakil rakyat Warisan itu, berkata usul yang dihantar pagi semalam itu, sebelum Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar, mahu peruntukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebanyak RM1,242,464,900 dikurangkan sebanyak RM81,500,000 “untuk mempastikan agar, JASA atau apapun nanti jenama agensi tersebut, hendaklah dimansuhkan sepenuhnya”.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan sebanyak RM85.5 juta akan diperuntukkan kepada JASA.
Semalam, kerajaan mengumumkan ia akan dikurangkan namun tiada angka diberi.
“Saya berharap Speaker Dewan Rakyat menerima dan membenarkan saya untuk membentangkan usul tersebut semasa Perbahasan Bajet 2021 di peringkat jawatankuasa,” katanya dalam kenyataan.