HomeNEWSSyarikat di Selangor masih buka kilang ketika lonjakan kes Covid-19

Syarikat di Selangor masih buka kilang ketika lonjakan kes Covid-19

Pekerja dilihat menaiki bas di luar sebuah kilang pada petang semalam.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat didakwa membiarkan sekurang-kurangnya sebuah daripada kilangnya di Selangor beroperasi, walaupun terdapat lonjakan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan pekerjanya.

Sekitar 7 malam semalam, tinjauan FMT mendapati berpuluh-puluh pekerja meninggalkan salah sebuah kilang syarikat itu sebelum menaiki beberapa bas. Ini tidak lama selepas bas lain turut dilihat menurunkan pekerja di luar pintu kilang yang sama.

Syarikat itu dikatakan sudah menggantung operasinya di beberapa kilangnya untuk membolehkan pekerjanya menjalani ujian saringan dan kuarantin wajib dalam usaha membendung penyebaran virus itu.

FMT bercakap dengan beberapa pekerja yang berlegar di luar kilang itu, dengan 2 daripadanya berkata, mereka bekerja di 2 kilang berasingan.

Ketika ditanya lagi, pekerja terbabit berkata, kilang-kilang itu “tidak beroperasi”, tetapi mereka tidak mahu mendedahkan kenapa mereka memasuki dan meninggalkan premis tersebut.

Seorang pekerja, yang bukan daripada kalangan mereka di kilang itu, berkata rakan sekerjanya memberitahu media yang talian pengeluaran ditutup, tetapi “di dalamnya semua beroperasi”.

“Anda rasa mereka (pekerja) berada di sana untuk buat apa? Nak tengok kilang?” soalnya.

Sumber lain memberitahu FMT, walaupun syarikat itu beritahu kilang-kilangnya ditutup, “ada talian pengeluaran di beberapa kilang beroperasi”. Beliau turut mendakwa 4 kilang beroperasi dengan 2 syif, sambil menyebut nama kilang terbabit.

Sumber itu memberitahu FMT, ramai pekerja dikuarantin di sebuah hotel, tetapi diarahkan kembali bekerja.

Menurut sumber itu, pekerja Malaysia menggantikan pekerja asing yang dikuarantin, dengan pekerja asing yang disahkan negatif diarah kembali bekerja.

“Mereka perlu jalani ujian semula 14 hari kemudian. Jadi, jika pekerja yang disahkan negatif pada awalnya didapati positif dalam ujian ke-2, mereka akan menyebarkan (Covid-19) kepada pekerja lain,” kata sumber itu.

FMT sudah menghubungi syarikat itu untuk komen.

Must Read

Related News