HomeNEWSBatal projek Melaka Gateway: Kerja mitigasi sepanjang pesisir pantai penting, kata NGO

Batal projek Melaka Gateway: Kerja mitigasi sepanjang pesisir pantai penting, kata NGO

Cadangan projek Melaka Gateway yang bernilai RM43 bilion merangkumi pembinaan 3 pulau dengan sebuah pelabuhan laut dalam dan terminal kapal persiaran, kondominium dan taman tema. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan memulakan kerja mitigasi untuk memperbaiki impak projek Melaka Gateway di pesisir pantai negeri itu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, kerajaan Melaka perlu fokus untuk melindungi kesejahteraan rakyatnya kerana membenarkan projek bernilai RM43 bilion itu dilaksanakan pada mulanya.

“Tidak adil untuk orang ramai menanggung akibat daripada ekosistem pesisir terjejas.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran memainkan peranan penting dalam memastikan langkah pembetulan supaya air dapat mengalir dari sungai dan pantai, serta banjir kilat dapat dielakkan.”

Meenakshi Raman.

Penempatan Portugis di Ujong Pasir sebelum ini mengadu terdapat takungan air tercemar dan banjir kilat kerap berlaku di kawasan terbabit akibat 3 pulau baru yang dibangunkan di bawah projek itu.

Meenakshi berkata, pengorekan bukan penyelesaian kepada masalah ini kerana menggali lebih banyak pasir hanya membawa kesan yang merosakkan alam sekitar dan perlu melakukan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Katanya, kebanyakan projek penambakan laut akan melakukan EIA sebelum kerja dimulakan. Sebahagian daripadanya, beliau berkata, melibatkan langkah yang perlu diambil susulan pemberhentian sebuah projek, semuanya diluluskan JAS.

“Jelas ada kelulusan, jadi sekarang mereka perlu meneliti pelan pengurusan alam sekitar dan pertimbangannya mengenai pengabaian projek. Mereka perlu segera menangani sungai tersumbat dan hakisan pantai yang telah berlaku. ”

Walaupun ia hanya langkah sementara, Meenakshi berkata, ia penting untuk menangani kehidupan penduduk di sepanjang pesisir pantai itu, terutama nelayan, yang selalunya menjadi kumpulan pertama menderita akibat projek penambakan.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, penamatan projek Melaka Gateway tidak mengejutkan banyak pihak, tetapi kerosakan besar ke atas negeri itu dikesali.

Khoo Poay Tiong.

“Kesan ke atas alam sekitar, terutama di pinggir laut, sangat besar dan tidak dapat diubah,” katanya kepada FMT.

“Kita perlu sedar semua perkembangan buruk ini membawa kesan jangka panjang terhadap kehidupan masyarakat dan ekonomi kita.”

Katanya, kesan negatif sudah berlaku, dengan Kajian Pendapatan Isi Rumah 2019 menunjukkan peningkatan kemiskinan mutlak di Melaka, daripada 2.6% pada 2018 kepada 3.9% pada 2019.

Seorang pemaju berpangkalan di Melaka, yang tidak mahu dinamakan, bersetuju dengan berkata, Melaka terlalu tepu dengan projek pembangunan yang jarang memenuhi permintaan tempatan.

Di luar projek berskala besar seperti Melaka Gateway, pemaju itu berkata, terdapat lebihan bekalan kondominium dan kompleks beli-belah, yang kebanyakannya masih kosong sejak sedekad lalu.

“Jumlah penduduk di Melaka kurang daripada sejuta, bagaimana kita boleh menampung semua projek hartanah ini? Banyak kerja pembangunan tidak diteliti dengan baik dan ia kini menimbulkan banyak masalah prasarana,” kata pemaju itu.

Khoo mencadangkan Melaka melabur dalam pembangunan lebih lestari dengan memfokuskan memperbaiki persekitaran dan kesejahteraan masyarakat.

Ini termasuk membina lebih banyak taman, menyalurkan lebih banyak dana kepada sektor pertanian dan melabur dalam sektor pembuatan yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sekurang-kurangnya perlu menemui pemaju projek kerana ia adalah “peranan asas mana-mana kerajaan untuk mendengar dan berbincang dengan pemegang taruh, serta tidak membuat keputusan sebelah pihak”.

Awal bulan ini, kerajaan Melaka dilapor menamatkan satu perjanjian penambakan laut dengan pemaju hartanah KAJ Development Sdn Bhd, kerana ia tamat tempoh 3 Okt lalu.

Projek Melaka Gateway dikatakan akan merangkumi sebuah terminal kapal persiaran antarabangsa yang cukup besar untuk menampung 4 kapal persiaran pada satu-satu masa. Kemudahan lain termasuk sebuah marina kapal layar, kondominium mewah, taman eko-pelancongan dan taman tema.

Sebuah pelabuhan laut dalam yang baru juga akan dibina dengan bantuan 3 syarikat China, menurut laporan berita.

Must Read

Related News