HomeNEWSPerkenal Akta Mahkamah Koroner, Majlis Peguam beritahu kerajaan

Perkenal Akta Mahkamah Koroner, Majlis Peguam beritahu kerajaan

Salim Bashir menggesa kerajaan menjalankan inkues ke atas semua kes kematian dalam tahanan, selain kes kematian yang meragukan.

PETALING JAYA: Majlis Peguam menggesa Putrajaya memperkenalkan Akta Mahkamah Koroner bagi memperkukuh peranan koroner susulan keputusan untuk membuka semula kes kematian seorang pegawai politik.

Presidennya Salim Bashir berkata, pada Okt badan itu mengemukakan deraf rang undang-undang kepada Jabatan Peguam Negara berhubung penubuhan mahkamah koroner bebas.

“Tugas koroner ialah menjalankan inkues berhubung kematian dan menentukan punca dan hal keadaan individu yang menemui ajal kerana sebab-sebab bukan semula jadi dan tidak dapat dijelaskan.

“Dalam hal ini, kami menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Mahkamah Koroner seperti di Singapura, Hong Kong, United Kingdon dan negara Komonwel lain,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang mengalu-alukan keputusan membuka semula siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Salim juga menggesa inkues dijalankan ke atas semua kes kematian dalam tahanan dan kes kematian yang meragukan.

Beliau berkata, kematian dalam tahanan merupakan ancaman terhadap masyarakt awam yang tertakluk kepada undang-undang.

Salim berkata, mahkamah perlu memainkan peranan penting dalam menimbangkan pampasan yang bermakna sebaik sahaja liabiliti diputuskan oleh mahkamah sivil.

“Ia adalah langkah maju bagi memastikan keadilan terlaksana.”

Pada 2009, Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan yang sama.

Teoh merupakan setiausaha politik Ean Yong Hian Wah yang merupakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika itu.

Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) selepas itu memutuskan bahawa beliau membunuh diri berikutan kaedah siasatan agresif yang digunakan oleh pegawai SPRM.

Ia juga menyalahkan tiga pegawai suruhanjaya berkenaan kerana menggunakan kaedah tersebut yang menurutnya melanggar prosedur.

Pada Julai tahun lepas, polis berkata, ia akan akur arahan Jabatan Peguam Negara supaya menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh.

Must Read

Related News