PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengkritik Ahli Parlimen pembangkang yang tidak bangun menyokong undi belah bahagi dalam pengundian Belanjawan 2021 petang tadi.
“Kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan kepada Ahli Parlimen, dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.
“Inilah yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini,” katanya dalam kenyataan di blognya hari ini.
Mahathir berkata, semua Ahli Parlimen yang bangun, termasuk daripada Pejuang, tetap berpegang kepada janji.
“Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.
“Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah.
“Hanya dengan penolakan rasuah sahaja kehancuran negara dapat di elak,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.
Sebelum itu, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mewakili Amanah mencadangkan undian belah bahagi dibuat bagi menentukan sokongan terhadap Belanjawan 2021.
Beliau bagaimanapun gagal mendapat 15 wakil rakyat untuk menyokong cadangannya.
Perkembangan ini bermakna perbahasan Belanjawan 2021 diteruskan ke peringkat jawatankuasa. Pusingan undian seterusnya akan menyaksikan sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan dengan sebarang pindaan atau sebaliknya.