KUCHING: Sarawak akan melancarkan Ops Jala sebagai strategi bagi menyekat kemasukan pendatang secara haram ke negeri itu dengan lebih berkesan, sekali gus menghalang penularan jangkitan COVID-19 dari negara luar.
“Jumlah kes positif COVID-19 yang berpunca daripada kehadiran pendatang tanpa izin masih menjadi ancaman besar yang perlu ditangani,” kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Sarawak menyaksikan detik sukar yang berkaitan kehadiran pendatang tanpa izin, termasuk kes empat pendatang asing wanita positif COVID-19 yang melarikan diri dengan menaiki bas, yang perlu ditangani.
Media baru-baru ini melaporkan kejadian empat pendatang asing wanita di Sibu yang didapati positif COVID-19, melarikan diri daripada pihak berkuasa dengan menaiki bas.
Mereka bagaimanapun berjaya ditangkap di Entikong, berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di Tebedu, kira-kira 100km dari sini.
“Mereka ini langsung tidak bertanggungjawab, jadi kita perlu mengambil tindakan drastik, bukan hanya ke atas mereka sahaja, tetapi juga ke atas pihak yang membantu kemasukan pendatang tanpa izin ke negeri ini,” kata Uggah.
Menurutnya perintah mewajibkan kuarantin ke atas kemasukan ke Sarawak ketika ini perlu diteruskan memandangkan jumlah kes positif CIVID-19 di negeri lain masih tinggi.
“Cuba bayangkan jika mereka tidak dikuarantin, mereka balik ke kawasan pedalaman dan timbulkan bencana.
“Pengorbanan (kuarantin) yang dilakukan mereka akan membantu dalam mengawal penularan di Sarawak,” katanya.
Uggah berkata, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada 1 Sept, 411 kes positif COVID-19 dilaporkan di negeri itu.
Menurutnya daripada kes positif ini, 38 merupakan kes yang diimport dari luar negara, 80 kes import dari negeri lain dan 293 merupakan kes jangkitan tempatan.
“Daripada 38 kes import, 12 melibatkan rakyat Malaysia, dan 26 bukan warganegara, dengan 15 dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin,” katanya.
Uggah berkata, lebih banyak hotel dan premis yang sesuai akan dijadikan pusat kuarantin di bandar Sibu bagi mengelak pelawat yang datang menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.