HomePoliticsRakyat Malaysia tidak boleh dihalang pulang dari luar negara, kata Ismail

Rakyat Malaysia tidak boleh dihalang pulang dari luar negara, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat Malaysia yang pulang dari negara yang melaporkan strain baharu COVID-19 perlu menjalani kuarantin dan mengikuti SOP lebih ketat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh menyekat rakyat Malaysia dari negara yang melaporkan strain baharu COVID-19 daripada pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia adalah jaminan yang ditetapkan oleh perlembagaan persekutuan.

Malah ketika kes COVID-19 tinggi di India, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga dibenarkan pulang, katanya pada sidang media perkembangan perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan supaya kerajaan menyekat kemasukan pengembara, termasuk rakyat Malaysia dari negara yang merekodkan strain baharu COVID-19 seperti United Kingdom, Afrika Selatan dan Hong Kong.

Ismail berkata, bagaimanapun rakyat Malaysia yang pulang dari negara terbabit perlu menjalani kuarantin dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Beliau juga menegaskan sehingga kini sempadan negara belum dibuka kepada pelancong asing.

Pada Sept lepas, kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 masuk ke Malaysia, termasuk dari Afrika Selatan dan United Kingdom.

Must Read

Related News