PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk semakan terhadap keputusan majistret membenarkan ikat jamin untuk seorang pelajar asing yang didakwa kerana tidak mempunyai permit.
Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nuraini Mohamed Nor berkata, kesalahan dilakukan tertuduh boleh diikat jamin.
“Adakah kamu sedar Mahkamah Persekutuan pernah membenarkan ikat jamin untuk kesalahan keselamatan?” soalnya kepada Timbalan Pendakwa Raya Heikal Ismail.
Nurulhuda tidak melihat sebab untuk mengubah keputusan majistret.
Malah, beliau turut bertanya kepada Heikal sama ada kes terhadap warga Bangladesh, Md Asraful Gani Chy, kini akademik memandangkan pegawai penyiasat sendiri mengesahkan dengan imigresen bahawa pelajar itu mempunyai dokumen sah.
Terdahulu, Heikal beritahu mahkamah ikat jamin tidak patut diberi kepada Chy sehingga perbicaraan selesai.
Beliau juga beritahu mahkamah pegawai penyiasat mengesahkan Chy mempunyai dokumen perjalanan sewajarnya.
Nurulhuda kemudian mengarahkan kes dikembalikan ke majistret untuk perintah sewajarnya.
Peguam bela Chy, Rajpal Singh, meminta Mahkamah Tinggi mempercepatkan kes terhadap anak guamnya yang dijadualkan pada 5 Feb memandangkan isu itu kini lebih bersifat akademik.
Nurulhuda mencadangkan pihak terbabit menulis kepada majistret untuk menyelesaikan perkara itu.
Chy ditahan pada 3 Nov di sebuah restoran ketika dia mahu menemui rakan.
Chy beritahu pegawai yang melakukan serbuan bahawa dia pelajar di universiti swasta tempatan malah menunjukkan kad pelajarnya sebagai bukti.
Dia turut menjelaskan pasport berada dengan pihak universiti untuk tujuan pembaharuan visa.
Bagaimanapun, penjelasannya tidak diendahkan dan Chy tidka dibawa ke depan majistret untuk perintah reman, seperti dibenarkan Akta Imigresen.
Pihak univerisiti kemudian menghantar wakil hal ehwal pelajarnya, Jamalullail Alias, ke balai polis Sea Park untuk menyerahkan pasport, tetapi diberitahu pegawai penyiasat sedang disiasat.
Pada 13 Nov, selepas ditahan selama 10 hari, Chy akhirnya dibawa ke mahkamah majistret dan didakwa kerana tidak mempunyai pas sah atau permit untuk tinggal di Malaysia.
Beliau mengaku tidak bersalah dan dihantar ke penjara Bentong.
Tiga hari kemudian, seorang rakan yang mendapat tahu masalahnya melantik peguam bagi pihaknya.
Selepas dibawa ke mahkamah pada 25 Nov, Chy dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan dua jaminan selepas memaklumkan dia perlu menduduki peperiksaan.
Dia turut diarah melapor diri ke Balai Polis Sea Park sebulan sekali.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Nurulhuda turut menolak permohonan semakan daripada pendakwa terhadap 30 warga China yang masuk menggunakan pas lawatan sosial sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada Mac.
Semuanya ditahan di Seri Kembangan, Serdang, antara 24 hingga 31 Okt kerana tinggal melebihi masa. Semuanya mempunyai pasport sah untuk pulang ke China namun disimpan ejen.
Mahkamah majistret membenarkan ikat jamin antara RM5,000 hingga RM8,000 sementara kes mereka disebut semula pada 2 Feb.
Peguam Suraj Singh yang mewakili mereka berkata, pegawai penyiasat kes mereka juga mengesahkan semua tertuduh mempunyai dokumen perjalanan sah.