HomePoliticsDJ Palestin ditahan selepas parti tekno di masjid Tebing Barat

DJ Palestin ditahan selepas parti tekno di masjid Tebing Barat

DJ Sama Abd Al-Hadi ditahan polis Palestin pada Ahad malam kerana menyertai parti tekno di Masjid Nabi Musa pada Sabtu lalu. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang DJ terkemuka Palestin ditahan kerana mengetuai parti tekno yang dianjurkan di sebuah masjid di Tebing Barat pada malam Sabtu.

Sama Abd Al-Hadi dari Ramallah ditahan polis Palestin pada Ahad malam, lapor stesen televisyen Israel, KAN memetik sumber Palestin.

Beliau dianggap perintis dalam industri muzik elektronik Palestin dan antara DJ wanita pertama dalam bidang yang dikuasai lelaki itu.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi menyiasat dalang di sebalik penganjuran parti di Masjid Nabi Musa yang turut menghidangkan arak.

Rakaman video menunjukkan sekumpulan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dan warga Israel menari serta minum arak di masjid itu yang terletak antara Baitulmaqdis dan Jericho, lapor The Times of Israel.

Peserta mendakwa mereka mendapat kebenaran daripada Kementerian Pelancongan Palestin untuk mengadakan parti itu.

Sementara itu, Mahmoud Al-Habbash yang merupakan penasihat hal ehwal agama kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyuarakan kemarahannya.

“Saya merasa jijik dan marah dengan apa yang berlaku di Masjid Nabi Musa…Saya masih tidak tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap dosa ini, tetapi tidak kira siapa pun, dia akan menerima hukuman setimpal atas kesalahan dilakukannya.

“Masjid adalah rumah Allah, kesuciannya adalah kesucian agama itu.”

Masjid Nabi Musa terletak bawah kawalan pihak berkuasa Israel. Pasukan keselamatan Israel tiba di tempat kejadian ketika konfrontasi berlaku pada malam itu.

“Ada tentera Israel di sana, tetapi insiden itu ditangani polis Israel dan institusi Palestin,” kata jurucakap tentera Israel tanpa mengulas lanjut.

Susulan kejadian itu, beberapa kementerian Palestin menuding jari dalam cubaan mengelakkan kemarahan orang ramai.

Kementerian Pelancongan cuba menyalahkan Kementerian Hal Ehwal Agama yang menafikan ia tahu mengenai perancangan parti itu di masjid terbabit.

“Saya terkejut mendengar berita orang memasuki masjid… Kementerian Hal Ehwal Agama tidak pernah diminta memberi kebenaran atau berunding, atau mengeluarkan permit untuk mengadakan parti di masjid,” kata Menteri Hassan Abu Al-Rabb kepada Radio Ajyal pada Ahad.

Must Read

Related News